Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bosnia Kumpul Empat Mata, Tunggu Nasib Ke Pusingan Seterusnya

PUSINGAN
Kredit: AFP

Bosnia Kumpul Empat Mata, Tunggu Nasib Ke Pusingan Seterusnya

Bosnia and Herzegovina terus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati FIFA World Cup 2026 buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Qatar 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B, lapor BBC.

Kemenangan itu menyaksikan Bosnia menamatkan saingan kumpulan dengan mengumpul empat mata, sama seperti Canada, namun terpaksa berpuas hati di tangga ketiga susulan rekod pertemuan yang memihak kepada tuan rumah bersama itu.

Bagaimanapun, Bosnia masih berpeluang untuk mara ke pusingan 32 terbaik sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik kejohanan.

Bosnia bermula garang apabila beberapa percubaan awal menerusi Ermedin Demirovic dan Ivan Sunjic hampir membuka jaringan, namun berjaya dinafikan penjaga gol Qatar, Mahmud Abunada.

Gol pertama Bosnia hadir pada minit ke-29 hasil rembatan jarak jauh pemain muda berusia 18 tahun, Kerim Alajbegovic yang melepasi dua pertahanan sebelum melepaskan sepakan padu menewaskan Abunada.

Pasukan kendalian Sergej Barbarez menggandakan kelebihan enam minit kemudian apabila percubaan voli kapten berusia 40 tahun, Edin Džeko terkena pertahanan Qatar, Sultan Al Brake sebelum menerjah masuk ke gawang sendiri.

Dzeko yang membuat penampilan ke-150 bersama skuad kebangsaan hampir menambah gol ketiga, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.

Qatar bangkit merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama menerusi Hassan Al-Haydos yang berjaya menolak masuk hantaran silang Edmilson Jr.

Namun, Bosnia mengesahkan kemenangan pada minit ke-80 apabila pemain gantian Ermin Mahmic menjaringkan gol ketiga selepas menyambar bola muntah dalam kotak penalti Qatar.

Kemenangan itu merupakan kemenangan kedua Bosnia dalam sejarah Piala Dunia selepas kejayaan menewaskan Iran 3-1 pada penampilan sulung mereka pada edisi 2014.

Kini, Bosnia hanya perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk menentukan sama ada mereka layak ke pusingan seterusnya, manakala Qatar menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.

Sumber:BBC Sport