Bot Hanyut Masuk Perairan Negara Jiran, Cara Polis Singapura Tegur Pemancing Ini Buat Ramai Terkejut
Memancing merupakan salah satu hobi atau aktiviti yang mempunyai kelompak penggemar yang sangat ramai, khususnya dalam kalangan lelaki.
Bagi mereka, aktiviti ini bukanlah sekadar hobi kerana ia juga dapat memberi ketenangan dan kepuasan, selain menikmati keindahan alam.
Dari sungai ke laut hingga ke tasik-tasik yang tersembunyi di pendalaman hutan, semua sanggup diteroka semata-mata untuk memburu penghuninya.
Sementara menunggu umpan disambar ikan, para pemancing biasanya mengisi masa dengan pelbagai aktiviti santai.
Ada yang rancak berbual sesama rakan, ada juga yang menikmati bekalan makanan sambil menghayati suasana tenang di tepian sungai atau laut.
Sekumpulan pemancing tak perasan bot hanyut ke negara ini
Namun berbeza pula situasi yang dialami oleh sekumpulan pemancing ini apabila pada awalnya hanya mahu menikmati makan tengah hari di atas bot sambil menunggu umpan disambar, malah lain pula yang terjadi.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @fizreeajie di TikTok, dia dan rakan- rakannya menyedari bot mereka sudah hanyut memasuki perairan Singapura.
Difahamkan, mereka dipercayai sedang leka menjamu selera ketika angin kuat dan arus deras mengakibatkan bot mereka perlahan-lahan bergerak jauh dari kedudukan asal.
“Tengah sedap makan tengah hari atas bot, tak perasan bot dah hanyut masuk Singapura. Musim angin kuat ni tak sedar bot bergerak macam ketam,” ujar @fizreeajie.
Polis marin Singapura sempat berbual dengan mereka
Sekumpulan pemancing tersebut hanya sedar sudah berada di perairan Singapura selepas didatangi sebuah bot pasukan polis negara itu yang memaklumkan mereka telah melepasi sempadan.
Video berdurasi 02:01 minit memaparkan polis marin Singapura tersebut bertanya dalam nada lembut sebelum meminta kad pengenalan masing-masing untuk membuat semakan.
Salah seorang polis marin tersebut juga memaklumkan, kejadian bot pemancing Malaysia masuk ke sempadan laut Singapura merupakan perkara biasa setiap hari.
“Kita kalau termasuk, kita tak ada masalah. Sebab ada sesetengah bot dorang lari apa semua. Tak ada apa-apa pun, kita nak ‘check’ sahaja
“Macam korang termasuk dalam kita punya air (sempadan), jadi kita akan ‘check’ dan nasihat abang untuk keluar. Macam itu sahaja,” ujar polis marin tersebut.
Sumber: @fizreeajie