Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan melakukan beberapa pelanggaran syarat operasi dalam satu pemeriksaan di perairan Bintulu, Sarawak semalam.
Bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 1.54 tengah hari pada kedudukan enam batu nautika di barat laut Kuala Kemena menerusi Op Tiris 4.0, Op Permai 01/2019 dan Op Pukat.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu gagal mengemukakan Sijil Pendaftaran Kapal (CMR) yang sah selain tidak memiliki Surat Pelepasan Pelabuhan.
Menurut beliau, bot berkenaan juga didapati beroperasi tanpa dilengkapi sauh seperti yang diwajibkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Bot tunda itu dikendalikan enam kru membabitkan dua warga Malaysia termasuk nakhoda, tiga warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.
“Kesemua kru bersama bot tunda berkenaan telah ditahan sebelum diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan setiap vesel mematuhi undang-undang maritim serta meningkatkan tahap keselamatan pelayaran di perairan negara.
Sehubungan itu, Muhammad Suffian mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan prosedur keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan.