Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Insiden Tikam Di Sekolah: 'Jangan Sebar Berita Palsu' - Fadhlina

FADHLINA
Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

Insiden Tikam Di Sekolah: 'Jangan Sebar Berita Palsu' - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu atau membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tikam yang berlaku di sebuah sekolah di Selangor hari ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata perkara itu penting bagi memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kes berkenaan.

Menurut Fadhlina, beliau telah berada di lokasi kejadian dan dimaklumkan bahawa pihak polis telah mengambil semua langkah keselamatan yang sewajarnya termasuk menahan suspek.

“Tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa menerima rawatan perubatan yang terbaik serta menyediakan sistem sokongan psikososial kepada seluruh warga sekolah yang terkesan.

“Semoga tuan pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran serta kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam mengendalikan insiden tersebut.

Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan kes itu akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa, tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa.

“Terima kasih atas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat.

“Insya-Allah, sekiranya terdapat perkembangan berkaitan kes ini yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa, saya akan memaklumkannya dari semasa ke semasa,” katanya.