Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buat Kali Pertama Dalam Sejarah, AI Berjaya Cipta Virus Sintetik

AI Berjaya Cipta Virus
Kredit: BBC

Buat Kali Pertama Dalam Sejarah, AI Berjaya Cipta Virus Sintetik

Penyelidik di Amerika Syarikat (AS) berjaya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mereka bentuk virus baharu yang berfungsi sepenuhnya serta mampu membiak di makmal.

Ia sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama keseluruhan genom virus berjaya direka menggunakan AI, lapor BBC.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science, sebanyak 16 virus baharu berjaya dihasilkan dan didapati berkesan menjangkiti bakteria, namun tidak mendatangkan ancaman kepada manusia.

Pencapaian itu disifatkan pakar sebagai satu titik perubahan penting dalam bidang biologi sintetik kerana berpotensi membuka laluan kepada pembangunan rawatan baharu bagi penyakit, khususnya jangkitan bakteria yang semakin kebal terhadap antibiotik.

Bagaimanapun, perkembangan berkenaan turut mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan biologi dan biosekuriti sekiranya teknologi sama disalahgunakan untuk menghasilkan virus yang boleh menyebabkan penyakit.

Penolong Profesor Universiti Stanford, Brian Hie, berkata kejayaan itu merupakan kali pertama AI generatif digunakan bagi mereka bentuk genom lengkap sesuatu virus yang mampu mereplikasi dirinya di dalam sel.

"Ini merupakan tahap baharu dalam keupayaan AI generatif. Sebelum ini, teknologi seperti ChatGPT digunakan untuk meramal urutan perkataan, namun dalam kajian ini AI meramal 'bahasa kehidupan', iaitu kod genetik," katanya kepada BBC.

Model AI dikenali sebagai Evo1 dan Evo2 dilatih menggunakan jutaan kod genetik daripada virus, bakteria, tumbuhan dan manusia sebelum diperhalusi bagi menghasilkan bakteriofaj, iaitu virus yang hanya menjangkiti spesies bakteria tertentu.

Penyelidik kemudian memilih 302 reka bentuk virus yang dihasilkan AI untuk disintesis di makmal. Daripada jumlah itu, sebanyak 16 virus didapati berjaya membunuh bakteria Escherichia coli (E. coli).

Pelajar kedoktoran Universiti Stanford, Samuel King, berkata pasukan penyelidik mula menyedari kejayaan eksperimen itu apabila tompokan jernih muncul pada piring petri yang dipenuhi bakteria, menandakan virus tersebut berjaya menjangkiti dan memusnahkan bakteria berkenaan.

"Kami mula melihat tompokan jernih itu dan ia sangat mengujakan," katanya.

Hie berkata suasana di makmal bertukar meriah apabila keputusan itu dikongsi bersama pasukan penyelidik yang kemudian memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda kejayaan.

Menurut penyelidik, pembangunan bakteriofaj baharu mampu membuka peluang menghasilkan rawatan alternatif terhadap jangkitan bakteria yang tidak lagi berkesan dirawat menggunakan antibiotik.

Namun, pakar memberi amaran bahawa teknologi sama juga boleh digunakan untuk menghasilkan bentuk biologi baharu yang tidak wujud secara semula jadi.

Dalam ulasan yang diterbitkan bersama kajian itu, Dr Thomas Inglesby dan Dr Moritz Hanke dari Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins berkata penemuan tersebut menimbulkan persoalan mendesak berkaitan keselamatan biologi dan biosekuriti.

Menurut mereka, persoalannya kini bukan lagi sama ada AI mampu mereka bentuk genom virus, sebaliknya bagaimana memastikan teknologi itu tidak digunakan sehingga membawa kemudaratan kepada manusia.

Sehubungan itu, mereka menegaskan penyelidikan yang berpotensi menghasilkan virus penyebab penyakit tidak seharusnya diteruskan.

Bagi mengurangkan risiko, pasukan penyelidik Stanford memaklumkan mereka hanya menggunakan virus yang menjangkiti bakteria dalam pangkalan data latihan AI, selain menjalankan semua eksperimen di makmal berkeselamatan tinggi.

Hie berkata langkah perlindungan sedia ada diyakini mampu memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan untuk tujuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Profesor Makmal Biologi Sintetik Universiti Pompeu Fabra, Sepanyol, Prof Marc Güell, menyifatkan kajian tersebut sebagai satu titik perubahan besar kerana buat pertama kalinya manusia berjaya mereka bentuk biologi melalui komputer.

Beliau berkata pencapaian itu membuka peluang kepada pembangunan bakteriofaj bagi merawat penyakit, enzim untuk gangguan genetik serta antibodi yang boleh digunakan dalam imunoterapi.

Dalam pada itu, Pengerusi Genomik Sintetik Institut Bioteknologi Manchester, Prof Patrick Cai, menyifatkan kajian tersebut sebagai satu pencapaian penting yang berpotensi melangkaui pembangunan bakteriofaj.

Menurut beliau, model bahasa genom kini mula memahami prinsip reka bentuk yang dibentuk melalui proses evolusi, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan genom dengan bantuan AI pada masa hadapan.

Walaupun begitu, penyelidik menjelaskan bahawa virus bukanlah organisma hidup dan masih terdapat jurang besar sebelum AI mampu mereka bentuk organisma hidup yang lengkap.

Sebagai perbandingan, genom bakteriofaj yang dihasilkan hanya mengandungi kira-kira 5,400 pasangan bes, manakala genom organisma hidup paling ringkas mempunyai sekitar 500,000 pasangan bes, sementara genom manusia mengandungi kira-kira tiga bilion pasangan bes.

Sumber:BBC
Intipati
  • Penyelidik AS menggunakan AI generatif untuk mereka bentuk genom lengkap virus sintetik.
  • Sebanyak 16 bakteriofaj dihasilkan dan berjaya membunuh bakteria E. coli di makmal.
  • Pakar melihat potensi rawatan baharu, tetapi menegaskan risiko biosekuriti perlu dikawal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan