Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pempengaruh media sosial, Budak 46 mendedahkan dia sudah berdepan penyakit mata retinitis pigmentosa sejak berusia empat tahun, namun memilih untuk terus berusaha mencari rezeki sendiri meskipun kisahnya meraih perhatian ramai di media sosial.
Budak 46 atau nama sebenarnya Muhammad Ammarzulkha berkata, terdapat individu yang menghubungi adiknya untuk mendapatkan kod QR bagi menyalurkan sumbangan selepas keadaan kesihatannya tular sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, dia menghargai keprihatinan orang ramai, namun memilih untuk tidak menerima bantuan kewangan kerana masih mampu menjana pendapatan menerusi kandungan dan jualan produk affiliate di media sosial.
“Adik saya telefon beritahu yang minta QR code.
“Tak perlu. Selagi saya boleh buat video affiliate, saya akan buat itu saja. Cuma, ada masa saya akan muat naik video dan ada masa tak muat naik, tetapi tidaklah sampai sebulan atau dua bulan,” katanya menerusi satu hantaran video di TikTok.
Dalam masa sama, beliau berkata bantuan berbentuk wang bukanlah keutamaan buat dirinya ketika ini kerana mahu meneruskan kehidupan hasil titik peluh sendiri.
“Jadi, hidup ini perlu diteruskan. Pedulilah apa orang nak kata. Daripada segi duit itu tak perlulah, saya tak nak,” ujarnya.
Terdahulu, adiknya yang dikenali sebagai Cuna berkongsi keadaan Budak 46 yang menghidap retinitis pigmentosa, iaitu penyakit degeneratif retina yang menyebabkan penglihatan semakin merosot secara beransur-ansur.
Menurut Cuna, penyakit itu dikesan ketika abangnya berusia empat tahun dan keadaan penglihatannya semakin berkurangan dari hari ke hari.
Beliau turut mengajak orang ramai memberikan sokongan dengan membeli produk menerusi pautan affiliate milik Budak 46 sebagai salah satu cara membantu pempengaruh itu meneruskan sumber pendapatannya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan