Seorang kanak-kanak lelaki di China hampir menempah maut apabila chopstick yang berukuran sepanjang 8 inci tertusuk ke dalam tekaknya.
Kanak-kanak berusia 2 tahun itu difahamkan sedang memakan biji epal yang dicucukkan di chopstick tersebut sambil menunggang basikal.
Dia kemudiannya hilang keseimbangan semasa menunggang basikalnya dan telah terjatuh seterusnya tertusuk chopstick tersebut, lapor media tempatan.
Chopstick itu telah menembusi tekaknya dan tersekat. Difahamkan chopstick tersebut tercucuk pada bahagian tekaknya sehingga dapat terlihat ianya terbonjol keluar melalui kulit di bahagian belakang lehernya.

Kanak-kanak itu dilaporkan terselamat dan sedang beransur pulih di sebuah hospital di Nanjing, China setelah menjalani pembedahan kecemasan.
Kemalangan tersebut difahamkan berlaku pada 29 November semasa dia dijaga oleh neneknya di rumah mereka, menurut akhbar tempatan Modern Express.
Ketika kanak-kanak itu menunggang basikalnya, datuk serta neneknya memberikannya sebiji epal untuk dimakan.
Neneknya itu mencucuk buah tersebut ke chopstick berkenaan bagi memudahkan kanak-kanak terbabit memakannya tanpa menggunakan tangan.

Semasa neneknya tidak memerhatikannya, kanak-kanak tersebut telah meninggalkan biliknya dengan menaiki basikal sambil memakan epal.
Dia secara tiba-tiba hilang keseimbangan dan terjatuh, sehingga menyebabkan chopstick itu tertusuk ke dalam mulutnya.
Kanak-kanak tersebut terus dikejarkan ke Hospital Kanak-Kanak Nanjing di mana doktor segera melakukan imbasan CT ke atasnya.
Gambar sinar-X menunjukkan chopstick yang berukuran lebih dari 20 sentimeter (7.8inci) dengan sebahagian besarnya menembusi kerongkong kanak-kanak itu sehingga boleh terlihat daripada bahagian belakang leher mangsa.

“Chopstick itu tidak mencederakan saluran makanan serta saluran pernafasan mangsa,” kata seorang doktor kepada wartawan.
“Tetapi ianya masih boleh merosakkan areti vertebra dan saraf serviks semasa pembedahan yang akan menyebabkan pendarahan yang boleh mengancam nyawa.”
Kanak-kanak itu segera dijadualkan menjalani pemebedahan kecemasan untuk mengeluarkan chopstick tersebut.
Mangsa telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi untuk menjalani pemeriksaan rapi susulan pemebedahannya selamat dilakukan.
Kanak-kanak itu dilaporkan pulih dengan baik dan kembali menjalani diet yang normal, kata pihak hospital kepada media.