Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Bukan Sekadar Bantuan Sementara," Dua Anak Amirul Hafiz Jadi Anak Angkat MARA

Sofea
Dua Anak Amirul Hafiz
Kredit FB Asyraf Wajdi

"Bukan Sekadar Bantuan Sementara," Dua Anak Amirul Hafiz Jadi Anak Angkat MARA

Negara dikejutkan dengan kejadian penunggang motosikal, Mohd Amirul Hafiz, yang maut selepas dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Raya Barat, Klang baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila arwah meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil.

Keadaan ini mendapat perhatian ramai termasuk Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan bahawa dua anak mangsa akan dijadikan anak angkat MARA.

Meninggalkan luka yang amat mendalam

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Asyraf berkata dua anak itu ialah Aqif dan Atif.

"Kelmarin tular satu insiden kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang yang melibatkan sebuah kereta Honda City dipandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal, Mohd Amirul Hafiz berusia 33 tahun.

"Saya dimaklumkan arwah meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil, dua orang sedang bersekolah rendah dan seorang lagi baru berusia 2 tahun,

"Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga," katanya.

Menurut Asyraf, beliau juga sempat membuat panggilan video bersama ibu arwah, Faridah, yang berkongsi bahawa arwah merupakan seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.

"Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil.

"Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan, MARA mengambil keputusan untuk menjadikan Aqif dan Atif sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA," ujarnya.

Satu komitmen jangka panjang

Mengulas lanjut, ia bukan sekadar bantuan sementara, tetapi merupakan satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.

Kedua-duanya akan mendapat bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang. Ia akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, yang disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.

Asyraf turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohammad Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Faisalludin Mohamat Yusuff yang mewakili beliau menziarah dan menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mangsa.

"Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. InsyaAllah, MARA akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya lagi.