Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Onn Hafiz Gesa ASEAN Main Peranan Lebih Aktif Tangani Krisis Jerebu

ASEAN
Kredit: Facebook Onn Hafiz

ASEAN perlu memainkan peranan lebih aktif termasuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan secara kolektif.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keadaan jerebu yang berlaku ketika ini turut memberi kesan kepada Johor, khususnya terhadap kesihatan rakyat dan kualiti udara di beberapa kawasan.

Menurut beliau, negara-negara ASEAN yang mempunyai kepakaran, aset dan keupayaan boleh tampil membantu mengikut keperluan menerusi penyelarasan serta persetujuan bersama.

“Dengan kerjasama yang baik, usaha pencegahan, pemantauan dan tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan pucuk pimpinan negara-negara ASEAN bagi membantu memulihkan keadaan secepat mungkin, selain memastikan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam persekitaran yang lebih selamat dan sihat.

Menurut Onn Hafiz, perkara itu disuarakannya ketika pertemuan dengan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto, hari ini.

“Saya menyampaikan kebimbangan kerajaan negeri dan berharap segala usaha untuk menangani punca jerebu dapat terus dipergiatkan.

“Dalam perkara ini, pendekatan kita bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari jalan penyelesaian bersama-sama kerana kesannya sudah melangkaui sempadan sesebuah negara,” katanya.

Tambahnya, pencemaran udara yang merentasi sempadan dan memberi kesan kepada negara jiran termasuk Malaysia memerlukan kerjasama serantau yang lebih erat demi kepentingan bersama.

Sementara itu, setakat pukul 11 pagi tadi, kesemua lapan stesen pemantauan di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, iaitu antara 161 hingga 187.

Malah, sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh Batu Pahat diarahkan tutup mulai hari ini susulan bacaan IPU mencecah 208 di daerah berkenaan pada pukul 9 malam tadi.

Intipati
  • Onn Hafiz menggesa ASEAN lebih aktif menangani jerebu rentas sempadan secara kolektif.
  • Beliau menyuarakan kebimbangan Johor ketika bertemu Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru.
  • Lapan stesen Johor mencatat IPU tidak sihat, manakala 335 institusi Batu Pahat ditutup.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan