“Bukan Sekadar Bapa,” Anak Kongsi Sisi A Samad Said Sebagai Ketua Keluarga
Nama Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sememangnya tidak asing bagi dunia penulisan kreatif. Karya sastera beliau seperti novel, puisi dan cerpen menambat hati pelbagai peringkat umur, menembusi jurang bangsa sehingga diterjemah ke dalam bahasa asing.
Malah, karya beliau juga pernah diangkat ke pentas teater seperti Salina dan Memori di Hadapan Pulau.
Namun begitu, di sebalik kemasyhuran nama agung ini, ada satu sisi yang jarang dapat kita dengar, luahan hati seorang anak.
Kredit: Threads Helmy Samad SaidBaru-baru ini, anak kepada tokoh sastera negara, Helmy berkongsi isi hatinya di laman Thread.
“Bangga tentu, tetapi saya sangat berhati-hati dalam setiap langkah kehidupan kerana menjaga namanya,” ujarnya.
Menerusi perkongsian itu, lelaki tersebut meluahkan rasa bimbang yang mula menapak sekitar lapan tahun lalu.
“Perasaan bangga itu masih, tetapi kini diiringi dengan rasa melindunginya,” kata lelaki itu.
Kredit: Threads Helmy Samad SaidKetika ditanya SK berkenaan perkara tersebut, Helmy menjelaskan bahawa rasa ingin melindungi itu terbit berikutan faktor usia tokoh berkenaan.
Kini mencecah usia 91 tahun, Sasterawan Negara itu dikhabarkan uzur berikutan faktor usia.
“Bapak uzur dan dia kini bersama isteri yang menjaganya,” kongsinya lanjut.
Kredit: Threads Helmy Samad SaidKenangan bapa disimpan kemas dalam jiwa
Sebagai seorang anak, Helmy menyifatkan A Samad Said sebagai seorang bapa dan sahabat baik.
“Dia sentiasa ‘di situ’ untuk saya,” katanya.
Dalam kebimbangan, anak kedua dari lima adik-beradik itu sempat mengenang kembali memori bersama sewaktu kecil.
“Bapak banyak memberi kami bahan bacaan semasa kecil. Dia galakkan kami mengembangkan minda kreatif kami.
“Dia memberi kebebasan untuk kami memilih haluan hidup dari segi bidang kerja dan banyak menasihati dengan memberi pandangannya,” imbaunya.
Perkongsian di laman Threads itu meraih perhatian warga maya yang turut berkongsi kisah masing-masing dalam mengenang memori tersendiri. Mereka turut mendoakan kesejahteraan buat Sasterawan Negara itu.
Kredit: Threads Helmy Samad Said
Kredit: Threads Helmy Samad Said
Kredit: Threads Helmy Samad SaidSumber: Threads Helmy Samad Said