Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bukan Sekadar Postur: Rahsia Di Sebalik Tulang Belakang Si Kecil

POSTER

Bukan Sekadar Postur: Rahsia Di Sebalik Tulang Belakang Si Kecil

Pada mulanya, ia mungkin kelihatan seperti tabiat yang tidak berbahaya, seorang kanak-kanak duduk membongkok di meja makan atau badan sedikit senget ke satu sisi. Namun, bagi sesetengah ibu bapa, perincian kecil itu mula menimbulkan persoalan, “Mengapa belakang anak saya seperti tidak seimbang?”

Kebanyakan keluarga di Malaysia mempunyai tanggapan awal ianya disebabkan postur badan tidak betul, atau beg sekolah yang terlalu berat. Namun menurut Dr Saw Lim Beng, Pakar Bedah Robotik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), itu mungkin bukan punca sebenar. 

“Skoliosis bukan hanya tentang postur. Ianya adalah keadaan kecacatan tiga dimensi di mana tulang belakang melengkung dan berpusing, memberi kesan kepada keseimbangan badan secara keseluruhan,” jelas beliau. Kebanyakan kes berkembang secara senyap ketika zaman kanak-kanak dan remaja, selalunya tanpa rasa sakit atau gejala yang ketara pada peringkat awal.

Tempoh Kritikal yang Sering Ibu Bapa Terlepas Pandang

Salah satu faktor skoliosis paling penting dan sering terlepas pandang pada kanak-kanak adalah masa. Dr Saw menerangkan, skoliosis pada kanak-kanak sering kelihatan ringan dan berkembang dengan sangat perlahan pada peringkat awal. Namun, segalanya boleh berubah sebaik sahaja mereka berada pada fasa tumbesaran pesat antara umur 10 ke 15 tahun. 

“Dalam tempoh ini, tulang belakang boleh berkembang dengan sangat cepat. Lengkungan ringan kadangkala boleh menjadi semakin ketara sepanjang fasa pertumbuhan pesat ini,” kata Dr Saw.

Kepantasan perkembangan ini sering mengejutkan keluarga. Lengkungan yang sebelum ini hanya memerlukan pemantauan berkala, boleh menjadi serius sekelip mata dalam beberapa bulan. Inilah sebab mengapa kanak-kanak yang didiagnosis dengan skoliosis mesti dipantau dengan rapat sepanjang tempoh pertumbuhan kritikal ini.

“Pemeriksaan susulan secara berkala adalah sangat penting. Ia membolehkan intervensi perubatan awal dilakukan sekiranya lengkungan mula berkembang terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar,” tambahnya.

Dr Saw Lim Beng, Pakar Bedah Robotik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Kesan Fizikal dan Emosi

Pada peringkat awal, skoliosis mungkin tidak menyebabkan kesakitan. Tetapi apabila ia berkembang, kesannya menjadi lebih ketara. Kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda amaran seperti sakit otot akibat ketidakseimbangan, bahu atau pinggul yang tidak sekata, dan asimetri badan yang ketara. Tetapi kesan yang lebih mendalam sering kali melibatkan emosi.

“Sesetengah kanak-kanak berasa sangat rendah diri. Mereka cuba menyembunyikan belakang mereka dengan rambut atau pakaian longgar, mengelakkan situasi sosial, atau berasa diri mereka berbeza daripada orang lain. Ini benar-benar menjejaskan keyakinan diri mereka,” kongsi Dr Saw.

Bagi remaja, khususnya perempuan, kebimbangan tentang imej badan boleh mempengaruhi keyakinan, penglibatan dalam aktiviti harian, dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Salah Faham Yang Perlu Diperbetulkan

Dr Saw menjelaskan bahawa 80-90% kes skoliosis adalah idiopatik, yang bermaksud punca sebenar tidak diketahui. Walaupun postur dan beban berat boleh menyumbang kepada ketidakselesaan belakang, ia tidak menyebabkan kelengkungan tulang belakang. Salah faham ini sering menyebabkan ibu bapa menyalahkan anak secara tidak perlu dan melambatkan pemeriksaan perubatan yang sewajarnya.

Dari Penjagaan Awal Hingga Rawatan Lanjut

Salah satu perkara yang paling melegakan bagi ibu bapa ialah pengesanan awal sering dapat mengelakkan keperluan pembedahan. “Dengan pengesanan awal, beberapa kes mungkin dapat dikawal tanpa pembedahan,” kata Dr Saw.

Pengurusan awal biasanya memberi tumpuan kepada pendekatan bukan pembedahan seperti memakai pendakap khas untuk mengawal perkembangan lengkungan, senaman fisioterapi khusus, dan pemantauan berkala semasa tempoh pertumbuhan.

Kemajuan dalam pendakap 3D yang disesuaikan dan pendekatan fisioterapi yang lebih spesifik turut membuka lebih banyak pilihan dalam menguruskan keadaan ini. Apabila digabungkan dengan teknik fisioterapi bersasar, pendekatan ini boleh membantu menstabilkan atau malah memperbaiki penjajaran tulang belakang.

Pembedahan hanya dipertimbangkan apabila lengkungan menjadi lebih teruk, biasanya melebihi 45 darjah atau apabila terdapat perkembangan atau ketidakseimbangan yang ketara. Walaupun begitu, rawatan hari ini jauh lebih maju.

“Pendekatan pembedahan hari ini berkembang dengan ketara. Kemajuan dalam teknologi pengimejan, perancangan dan pembedahan membantu meningkatkan cara pakar bedah mengendalikan keadaan kelengkungan tulang belakang.

Di SMC, sistem bantuan robotik boleh digunakan bagi menyokong perancangan pembedahan dan membantu proses membuat keputusan semasa pembedahan dalam kes tertentu, yang dikendalikan oleh pasukan multidisiplin berpengalaman,” jelasnya. 

Walaupun dengan pelbagai kemajuan teknologi, Dr Saw menekankan bahawa pembedahan hanya dipertimbangkan apabila intervensi lain tidak lagi berkesan, dan pesakit mesti memahami dengan jelas matlamat dan jangkaan rawatan sebelum meneruskannya.

Risiko Menunggu Terlalu Lama

Salah satu cabaran utama ialah kelewatan mendapatkan pemeriksaan perubatan. Ini kebiasaanya kerana keluarga mengharapkan keadaan pulih sendiri. Namun, sebaik sahaja mereka mendapatkan rawatan pakar, lengkungan tulang belakang mungkin sudah menjadi lebih serius, menjadikannya lebih sukar diuruskan. 

“Menunda rawatan yang sepatutnya boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk di mana pilihan rawatan mungkin menjadi lebih kompleks,” katanya. Bagi kanak-kanak, ini boleh bermakna rawatan yang lebih kompleks, pemulihan yang lebih lama, dan tekanan emosi yang lebih tinggi.

Tanda Awal dan Nasihat Kepada Ibu Bapa

Pengesanan awal amat penting, terutama semasa fasa tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa perlu perhatikan tanda-tanda seperti bahu tidak seimbang, pakaian yang senget ke satu sisi, tulang rusuk menonjol ketika membongkok ke depan, atau badan sedikit senget ke satu sisi atau kedudukan pelvis yang tidak seimbang ketika berjalan. Pemerhatian mudah ketika anak membongkok ke hadapan (Adam’s Forward Bend Test) mungkin membantu mengesan keadaan ini, tetapi pemeriksaan profesional disyorkan jika terdapat sebarang kebimbangan.

Sempena dengan Bulan Kesedaran Skoliosis pada Jun ini, ibu bapa digalakkan untuk tidak hanya melihat pada postur, sebaliknya menyedari bahawa ia mungkin tanda awal masalah kesihatan. “Skoliosis sering berlaku di luar kawalan kanak-kanak, tetapi penjagaan yang tepat pada masanya boleh meningkatkan hasil pengurusan secara signifikan,” katanya.