Bukan Setakat Hilangkan Dahaga, Ini 7 Kebaikan Air Kelapa Ramai Belum Tahu
Cuaca panas melampau yang melanda negara kita kebelakangan ini sememangnya mengganggu rutin harian setiap orang.
Hal ini kerana, cuaca yang terlalu panas akan membuatkan kita mengeluarkan peluh yang banyak dan sekali gus membuatkan kita berasa tidak selesa untuk melakukan sebarang aktiviti. Selain itu, cuaca panas ini juga turut mampu menjejaskan kesihatan kita.
Tambahan lagi, sekiranya anda tidak minum air secukupnya badan akan berasa lemah, dehidrasi, sakit tekak dan suhu badan juga akan meningkat.
Oleh sebab itu, penting untuk kita memastikan badan kita kekal bertenaga dan suhu badan kembali normal.
Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah dengan minum air yang secukupnya.
Namun, selain dari minum air putih secukupnya, anda juga boleh mengamalkan untuk minum minuman lain seperti air kelapa untuk menyejukkan badan.
7 kebaikan air kelapa yang ramai masih belum tahu
Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, air kelapa dianggap sebagai minuman isotonik semula jadi dan bertindak sebagai pengganti cecair badan yang berkesan.
Ini kerana kandungan mineral seperti potasium, magnesium, kalsium, fosforus dan sodium yang terkandung di dalamnya dikatakan mampu mengurangkan risiko dehidrasi akibat cuaca panas.
Selain itu, ia juga dikatakan lebih sihat daripada minuman bergula kerana ia mengandungi vitamin, mineral dan enzim semula jadi yang menjadikannya pilihan lebih baik dari minuman manis yang lain.

Antara kebaikan air kelapa kepada tubuh badan ialah:
1. Meningkatkan hidrasi badan
Ia bertindak sebagai agen penghidratan semula jadi yang terbaik untuk menyegarkan tubuh yang lesu akibat haba.
2. Membantu pengurusan berat badan
Kandungan lemak yang rendah serta keupayaan mengawal selera makan menjadikannya sesuai untuk diet sihat.
3. Mengekalkan kesihatan kulit
Ia juga membantu mengekalkan kelembapan semula jadi kulit dari dalam agar tidak kering semasa cuaca terik.
4. Melancarkan sistem pencernaan
Air kelapa juga sangat berkesan dalam membantu individu yang mengalami masalah sembelit dan melancarkan proses pembuangan.
5. Mengawal tekanan darah
Pengambilan secara sederhana membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko seperti strok atau penyakit jantung.
6. Melegakan mual ibu hamil
Air kelapa sering digunakan sebagai pilihan semula jadi bagi wanita hamil untuk mengurangkan rasa mual pada peringkat awal kehamilan.
7. Kaya dengan nutrien penting
Ia membekalkan vitamin dan enzim aktif yang diperlukan badan untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
Tip & sokongan tempatan
Sokong petani tempatan
Memilih air kelapa segar meningkatkan permintaan terhadap komoditi kelapa yang diusahakan oleh petani negara.
Amalkan tanpa gula tambahan
Untuk mendapatkan manfaat yang maksimum, amalkan minum air kelapa tanpa menambah sebarang gula tambahan.
