Ketuhar merupakan salah sebuah peralatan elektrik yang boleh dikatakan wajib ada di setiap isi rumah.
Seperti perkakasan elektrik yang lain, ketuhar juga ada fungsi yang sangat penting di dapur. Kerja memasak menu-menu yang melecehkan seperti membakar roti dan membuat ayam bakar menjadi lebih mudah dengan adanya ketuhar.
Begitupun, pernah atau tidak anda sedar satu rekaan aneh yang ada pada pintu kaca ketuhar?
Dekat bahagian pintu kaca tu biasanya ada corak titik-titik hitam kecil, yang bermula daripada bahagian kecil dengan bilangannya semakin berkurang apabila menghampiri kawasan tengah.
Mungkin selama ini kita anggap ia sekadar corak atau sebahagian daripada reka bentuk ketuhar. Tetapi rupanya, titik-titik hitam itu mempunyai fungsi yang jauh lebih penting daripada sekadar nak bagi ketuhar nampak cantik.
Menurut Reader’s Digest, corak tersebut dikenali sebagai ceramic frit dan ia memainkan peranan dalam membantu pintu ketuhar menguruskan haba.
Apa sebenarnya fungsi titik hitam frit pada pintu ketuhar?
Secara asasnya, frit merujuk kepada bahan berasaskan kaca yang digunakan untuk menghasilkan lapisan seramik pada permukaan kaca.
Frit yang digunakan pada pintu ketuhar moden pula biasanya dihasilkan flux kaca, dakwat hitam dan juga sebatian pengikat organik.
Untuk pintu ketuhar, bahan berkenaan dicetak pada kaca sebelum melalui proses pengerasan atau tempering.
Sebab itu kalau anda cuba lap atau gosok titik hitam tersebut, ia tidak akan hilang begitu sahaja kerana ia memang menjadi sebahagian daripada kaca berkenaan.
Pada masa yang sama, corak titik-titik hitam itu juga sebenarnya tidak dibuat secara rawak. Jika diperhatikan, bahagian berhampiran bingkai ketuhar biasanya mempunyai kawasan hitam yang lebih padat sebelum berubah menjadi titik-titik kecil ke arah tengah.
Bantu lindungi kaca daripada perubahan suhu
Menurut Reader Digest's lagi, antara fungsi utama frit adalah membantu kaca berdepan perubahan suhu yang tinggi.
Bayangkan ketika ketuhar sedang digunakan, bahagian kaca yang menghadap ruang memasak boleh menjadi sangat panas, sedangkan bahagian luar pintu pula berada pada suhu yang jauh lebih rendah.
Perbezaan suhu itu boleh menyebabkan kaca mengembang pada kadar yang tidak sekata.
Jika tekanan yang berlaku terlalu tinggi, ia boleh meningkatkan risiko kaca mengalami kerosakan akibat perubahan suhu atau apa yang dikenali sebagai thermal shock.
Corak frit membantu menjadikan perubahan suhu pada permukaan kaca berlaku dengan lebih terkawal, khususnya di kawasan berhampiran bingkai logam ketuhar.
Selain itu, lapisan seramik berkenaan turut membantu mengagihkan haba pada panel kaca dengan lebih sekata. Ini penting kerana pengumpulan haba pada satu-satu kawasan boleh menyebabkan permukaan pintu menjadi terlalu panas.
Pada masa sama, pengurusan haba yang lebih baik turut membantu oven mengekalkan suhu di bahagian dalam ketika makanan sedang dimasak. Secara tidak langsung, ia juga membantu mengurangkan kehilangan haba.
Kenapa tak buat seluruh kaca warna hitam?
Kalau warna hitam membantu menyerap dan menguruskan haba, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa pengeluar tak buat sahaja seluruh kaca pintu ketuhar berwarna hitam.
Jawapannya mudah. Kalau seluruh pintu berwarna hitam, kita tak dapatlah nak tengok keadaan makanan yang sedang dimasak dekat dalam.
Atas alasan berkenaan, maka sebab itulah corak frit direka secara berperingkat. Bahagian berhampiran bingkai mempunyai corak lebih padat kerana kawasan itu memerlukan pengurusan haba yang lebih tinggi.
Apabila semakin menghampiri bahagian tengah, titik berkenaan semakin kecil dan jarang supaya pengguna masih boleh melihat ke dalam ketuhar.

