Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bukan Sorakan Biasa, Ini Makna & Sejarah Di Sebalik Viking Row Pasukan Norway

Viking Row Pasukan Norway
Kredit: AFP

Bukan Sorakan Biasa, Ini Makna & Sejarah Di Sebalik Viking Row Pasukan Norway

Piala Dunia 2026 bukan sekadar menjadi medan untuk setiap pasukan saling berentap antara satu sama lain. Tetapi ia turut memaparkan momen-momen melibatkan pemain dan peminat yang menyentuh hati, kelakar dan bermacam lagi.

Baru-baru ini, pasukan Norway turut mencipta sensasi tersendiri apabila berjaya menumpaskan Brazil 2-1 dalam perlawanan pusingan kalah mati.

Kejayaan itu sekaligus membawa mereka bertemu England di perlawanan suku akhir pada Sabtu ini di Miami.

Namun, bukan perlawanan itu yang SK ingin ulas pada kali ini. Sebaliknya, pasukan Norway juga mencuri tumpuan selepas perlawanan dengan Brazil kerana melakukan sorakan bersama peminat.

Menerusi video yang tular, Erling Haaland memukul dram dan pasukannya duduk di belakang sambil membuat sorakan yang dipanggil sebagai Viking Row.

Momen itu jadi lebih istimewa apabila dilakukan bersama lautan peminat yang memakai jersi berwarna merah.

Dengan gaya seperti sedang mendayung setiap kali dram itu diketuk, sorakan itu dilakukan dengan sangat harmoni.

Melihat momen tersebut, pasti ada yang tertanya-tanya mengenai sejarah Viking Row, bagaimana ia bermula?

Siapa yang cipta Viking Row?

Untuk pengetahuan, Viking Row lahir daripada budaya bola sepak Norway, iaitu satu bentuk perayaan bersama apabila penyokong duduk dalam barisan dan mendayung mengikut rentak, seolah-olah sedang menggerakkan kapal panjang Viking yang tidak kelihatan merentasi orang ramai.

Sorakan “row!” itu melambangkan semangat seolah-olah rakyat Norway sedang mendayung ke darat sebelum perlawanan dan bersedia untuk bertempur.

Kredit: Visit Norway

Peminat tegar Norway, Ole Frøystad, dikreditkan sebagai pencipta yang mempopularkan sorakan Viking Row ini.

Dia memulakan kempennya bersama kumpulan penyokong dalam perlawanan persahabatan menentang Switzerland pada Mac 2026 dan ia menjadi popular serta-merta.

Pun begitu, ia kembali menjadi sensasi ketika Piala Dunia sehingga pemain Norway juga turut melakukannya.

Viking Row dan sejarah Norway

Walaupun ia merupakan sorakan moden, Viking Row sebenarnya berakar daripada tradisi yang sangat sinonim dengan Norway iaitu Viking, bot, percikan air laut dan manusia yang kelihatan terlalu selesa dalam cuaca buruk.

Norway ialah sebuah negara panjang dan sempit yang dikelilingi laut. Garis pantainya dipenuhi fjord (teluk laut yang panjang), pulau, beting batu kecil dan selat.

Dalam sebahagian besar sejarahnya, air bukanlah halangan tetapi ia merupakan jalan utama.

Sebelum wujudnya terowong, jambatan, feri, landasan kereta api dan lebuh raya, rakyat Norway bergerak menggunakan bot.

Kredit: Visit Norway

Mereka mendayung untuk menangkap ikan, berdagang, ke gereja, pasar, ladang jiran dan menyeberangi fjord.

Di tasik pedalaman pula, bot turut menjadi nadi kehidupan tempatan. Apabila ais hilang pada musim bunga, orang ramai boleh memindahkan kargo, haiwan, kayu balak, makanan dan sebarang berita merentasi air.

Daripada kapal Viking kepada bola sepak

Walaupun sorakan itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja, ia bukan sekadar gimik tetapi semangat yang sudah sebati dalam diri rakyat Norway.

Merenung semula ke Zaman Viking, pelaut Scandinavia mengembara jauh dengan menaiki kapal. Pengangkutan itu dibina untuk kelajuan, fleksibiliti dan ketahanan dengan menggunakan layar apabila angin mengizinkan dan dayung apabila kuasa otot diperlukan.

Bot-bot ini membawa manusia, haiwan dan pelbagai jenis barangan di sepanjang pantai, hulu sungai dan merentasi laut ke pelbagai destinasi yang jauh.

Sekitar tahun 1000, penjelajah Norse yang diketuai oleh Leif Erikson belayar dan mendayung ke barat dari Greenland. Mereka menjadi orang Eropah pertama yang diketahui sampai ke Amerika Utara.

Mereka berlabuh di tempat yang dipanggil sebagai Vinland, iaitu kemungkinan besar di tempat yang kini dikenali sebagai Newfoundland, Kanada.

Ia merupakan pencapaian luar biasa dalam pelayaran dan pembinaan bot.

Justeru, apabila peminat Norway duduk dan mendayung serentak, mereka sebenarnya sedang menyentuh satu warisan sejarah yang kuat, lengkap dengan kru, irama dan matlamat bersama.

Disebabkan itu juga ia berfungsi dengan baik sebagai sorakan bola sepak.

Kekal mendayung

Selepas Zaman Viking, aktiviti mendayung kekal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian Norway.

Di sepanjang pantai, bot membawa nelayan dari seluruh negara ke beberapa perairan terkaya di Eropah.

Di Utara Norway, perikanan di kepulauan Lofoten menjadi legenda. Selama lebih seribu tahun, para nelayan belayar dan mendayung ke Lofoten pada musim sejuk untuk menangkap ikan kod yang dipanggil sebagai skrei.

Ini membuktikan bahawa mendayung melambangkan kerja keras dan usaha untuk terus hidup.

Kredit: Visit Norway

Malah, perkataan fjord menceritakan satu perjalanan. Meskipun pelancong sering melihat fjord sebagai pemandangan yang dramatik, tetapi bagi orang Norway ia merupakan laluan perjalanan yang praktikal selama berabad-abad.

Apabila mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah ini, dapat disimpulkan bahawa sorakan Viking Row mempunyai makna tersendiri.

Ia menggabungkan sejarah Norway menjadi satu gerakan yang menyeronokkan dan menggembirakan orang ramai.

Bagi sebuah negara pesisir, perasaan itu amat mendalam. Norway dibina oleh orang yang mengetahui tentang air, cuaca, bot dan dayung.

Mereka mendayung kerana air ialah cara hidup dan budaya itu sudah sebati dalam darah daging mereka.