Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Bunyi Kereta Yang Wajib Anda Ambil Serius Sebelum Terlambat
Setiap pemandu pasti pernah mengalami situasi di mana kereta mengeluarkan bunyi pelik ketika dipandu. Ada kalanya bunyi itu kedengaran halus, ada masanya agak jelas dan cukup mengganggu ketenangan.
Tidak kurang juga yang mengambil sikap sambil lewa dengan beranggapan ia hanyalah bunyi biasa tanpa menyedari bahawa setiap deruan, decitan atau hentakan yang tidak normal sebenarnya adalah isyarat penting daripada kereta anda.
Hakikatnya, bunyi kereta yang ganjil ibarat bahasa amaran yang cuba disampaikan kenderaan sebelum ia mengalami kerosakan yang lebih serius.
Mengabaikan tanda awal ini boleh menyebabkan kerosakan kecil bertukar menjadi masalah besar yang menelan belanja tinggi. Malah dalam sesetengah keadaan boleh menjejaskan keselamatan nyawa di jalan raya.
Artikel kali ini akan mengupas tentang bunyi kereta yang perlu anda tahu agar anda lebih peka terhadap isyarat awal yang diberikan oleh kenderaan.
Dengan memahami maksud di sebalik bunyi-bunyi tersebut, anda bukan sahaja dapat melindungi poket daripada kos pembaikan tinggi.
Lebih penting lagi, ia dapat memastikan perjalanan sentiasa selamat dan lancar untuk diri sendiri, penumpang serta pengguna jalan raya lain.
Jika anda mendengar bunyi berdecit atau melengking ketika menekan pedal brek, ia menandakan pad brek sudah haus atau terdapat habuk dan kotoran yang melekat pada permukaan cakera.
Bunyi ini tidak seharusnya diambil mudah kerana brek adalah komponen utama yang menentukan keselamatan pemandu dan penumpang.
Brek yang haus bukan sahaja mengurangkan kecekapan membrek, ia juga memanjangkan jarak berhenti yang boleh mengundang bahaya.
Terutama sekali ketika anda memandu dalam keadaan hujan atau di jalan licin. Jika dibiarkan terlalu lama, cakera brek boleh rosak dan kos pembaikan akan menjadi lebih tinggi.
Lebih berbahaya, prestasi brek juga boleh merosot dan meningkatkan risiko kemalangan yang mungkin meragut nyawa. Oleh itu, sebaik sahaja bunyi ini muncul, segera lakukan pemeriksaan di bengkel.
2. Bunyi ketukan dari enjin
Selain itu, bunyi ketukan halus yang datang dari enjin selalunya berlaku akibat masalah pelinciran atau penggunaan minyak enjin yang tidak sesuai dengan spesifikasi.
Ia mungkin juga berpunca daripada komponen dalaman enjin seperti rod, bearing atau piston yang sudah longgar. Apabila komponen ini tidak berada dalam keadaan sempurna, geseran berlebihan berlaku dan menghasilkan bunyi ketukan yang jelas.
Jangan tunggu sehingga bunyi semakin kuat kerana ia boleh menandakan kerosakan serius pada bahagian dalam enjin yang memerlukan kos pembaikan ribuan ringgit.
Jika masalah ini diabaikan, ia boleh membawa kepada kerosakan enjin sepenuhnya sehingga memerlukan overhaul. Segeralah lakukan pemeriksaan di bengkel bagi mengelakkan situasi lebih buruk dan untuk memastikan enjin terus berfungsi lancar.
Sekiranya anda mendengar bunyi berdengung yang semakin kuat mengikut kelajuan, besar kemungkinan ia berpunca daripada tayar yang haus tidak sekata, alignment yang lari atau bearing roda yang rosak.
Masalah ini bukan sahaja menyebabkan perjalanan menjadi tidak selesa dengan gegaran yang berterusan malah boleh mengganggu kawalan stereng terutamanya ketika memandu laju di lebuh raya.
Jika tayar sudah haus hingga botak, risiko tayar pecah ketika dipandu meningkat dengan mendadak. Tayar adalah satu-satunya komponen yang terus berhubung dengan permukaan jalan.
Jadi sebarang tanda bunyi pelik perlu diperiksa segera bagi menjamin keselamatan pemanduan. Menggantikan tayar pada waktunya bukan sekadar langkah bijak tetapi juga pelaburan untuk keselamatan anda dan keluarga.
BACA : Dah Wangi Tapi Masih Berbau? Ini 7 Musuh Senyap Bau Badan
4. Bunyi siulan ketika memecut
Ada masanya ketika anda menekan pedal minyak, kedengaran bunyi siulan atau desiran dari enjin yang semakin jelas ketika kelajuan meningkat.
Bunyi ini biasanya datang daripada sistem pengecas turbo, tali kipas yang longgar atau kebocoran pada sistem vakum.
Jika dibiarkan, prestasi enjin boleh terjejas dan penggunaan bahan api menjadi tidak efisien kerana tenaga tidak lagi disalurkan dengan sempurna.
Dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menjejaskan keupayaan enjin dan mengundang masalah lain yang lebih besar.
Bagi mereka yang kerap memandu jauh, bunyi ini juga boleh menjadi tanda awal kepada kerosakan yang boleh membuatkan kereta terhenti di tengah jalan.
Oleh itu, segera dapatkan pemeriksaan mekanik untuk mengenal pasti punca sebenar sebelum ia melarat.
Jika anda mendengar bunyi hentakan atau ketukan ketika membelok terutamanya di bahagian depan kereta, ia menandakan masalah pada sistem suspensi atau driveshaft.
Komponen ini berfungsi untuk menyerap hentakan jalan, memastikan pemanduan stabil dan membolehkan tayar bergerak dengan lancar ketika kereta membelok.
Kerosakan pada bahagian ini bukan sahaja membuatkan pemanduan menjadi tidak selesa dengan bunyi bising dan gegaran malah boleh membahayakan kerana ia berkait rapat dengan kawalan kenderaan.
Jika driveshaft gagal berfungsi, kereta mungkin hilang kawalan secara tiba-tiba. Bagi pemandu, situasi ini boleh menjadi mimpi ngeri terutama ketika berada di selekoh tajam atau ketika memandu pada kelajuan tinggi.
Maka, jangan tunggu hingga masalah bertambah serius, lakukan pemeriksaan segera.
6. Bunyi mendesis ketika berhenti
Kadangkala selepas memandu, anda mungkin terdengar bunyi mendesis seperti gas keluar dari bawah kereta atau sekitar enjin. Bunyi ini biasanya berpunca daripada sistem penyejukan.
Ianya sama ada kebocoran pada hos radiator, tekanan berlebihan pada sistem atau pendingin hawa yang bermasalah. Jangan sesekali mengabaikan bunyi ini kerana ia boleh menyebabkan enjin menjadi terlalu panas (overheating).
Sekali gus merosakkan gasket kepala silinder, radiator malah keseluruhan enjin.
Overheating adalah antara kerosakan paling serius yang boleh berlaku pada enjin kerana ia boleh menyebabkan kereta terhenti di tengah jalan dan memerlukan pembaikan yang sangat mahal.
Jika anda mendengar bunyi mendesis, hentikan kenderaan dan segera dapatkan pemeriksaan profesional sebelum ia merosakkan lebih banyak komponen lain.
Sebagai pemandu yang bertanggungjawab, peka terhadap perubahan bunyi adalah langkah pertama untuk mengelakkan kerosakan besar dan memastikan keselamatan diri serta penumpang.
Setiap bunyi adalah petunjuk bahawa kereta anda sedang memerlukan perhatian dan penjagaan. Jadi, jika anda mula mendengar sesuatu yang ganjil, jangan tunggu terlalu lama.
Segeralah bawa kereta anda ke bengkel bagi mendapatkan pemeriksaan profesional kerana lebih cepat masalah dikenal pasti, lebih murah dan mudah ia dapat diselesaikan.
Sumber : living.geico, scottsauto