Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pasukan Cape Verde mencipta sejarah yang tersendiri apabila berjaya ke pusingan 32 atau kalah mati selepas seri 0-0 menentang Arab Saudi pada Jumaat.
Keputusan seri itu bersama kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Uruguay, menyaksikan pasukan di ranking ke-67 dunia tersebut menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua di belakang Sepanyol.
Ia merupakan pencapaian yang membanggakan susulan ini merupakan penampilan pertama mereka di Piala Dunia.
Selepas seri dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, negara kepulauan dengan penduduk lebih 500,000 orang itu akan menentang Argentina yang dibintangi Lionel Messi di Miami pada 3 Julai.
Sementara itu, pemain Cape Verde dan sebahagian penyokong mereka dilihat menangis selepas perlawanan.
Skuad itu terpaksa menunggu satu atau dua minit yang cukup mendebarkan sebelum berita kemenangan Sepanyol diterima menerusi telefon bimbit, lalu mereka meledak dengan sorakan kegembiraan.

“Sejujurnya, saya rasa seperti sedang hidup dalam mimpi,” kata pemain tengah Deroy Duarte kepada penyiar.
Kegembiraan sama turut dirasai di ibu negara Cape Verde, Praia, apabila orang ramai menonton perlawanan besar itu hingga awal pagi.
“Memang sudah ada dalam fikiran dan kepala bahawa kami mampu sampai ke tahap ini.
“Kami bangga dapat sampai ke tahap ini dan sekali lagi menunjukkan kepada dunia bahawa kami sebuah negara kecil, tetapi kami berjuang untuk apa yang kami mahukan. Bagi kami, tiada apa yang mustahil," kata jurulatih Cape Verde, Bubista.

Pasukan ketiga terkecil dalam sejarah Piala Dunia dari segi populasi itu dijangka akan menghadapi saingan sengit daripada Argentina.
Bagaimanapun, segala kemungkinan boleh berlaku dalam setiap perlawanan. Adakah mereka akan mencipta sejarah yang luar biasa? Sama-sama kita nantikan pada 3 Julai nanti.
Dalam pada itu, Sepanyol, yang sebelum ini seri 0-0 dengan Cape Verde dalam perlawanan pertama kumpulan, menamatkan saingan dengan tujuh mata, diikuti pasukan Cape Verde dengan tiga mata.
Manakala Uruguay dan Arab Saudi tersingkir selepas masing-masing mengutip dua mata.