Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Miliki Rumah Mampu Milik Dengan Skim Smart Sewa Selangor
Kerajaan Negeri Selangor terus berusaha menyediakan penyelesaian perumahan yang mampu milik melalui Skim Smart Sewa Selangor.
Ia merupakan satu inisiatif yang mensasarkan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk memperoleh pinjaman perumahan.
Skim ini direka khusus supaya rakyat berpeluang menyewa rumah pada kadar berpatutan sambil membina asas untuk memiliki rumah sendiri pada masa akan datang.
Menariknya, 30% daripada jumlah sewaan yang dibayar sepanjang tempoh sewa akan dikembalikan kepada penyewa sebagai wang pendahuluan untuk pembelian rumah selepas tempoh sewaan tamat.
Inisiatif ini dapat memberikan penyelesaian dua hala. Ianya akan menampung keperluan tempat tinggal kini dan membuka peluang memiliki rumah sendiri tanpa tekanan kewangan yang terlalu tinggi.
Skim Smart Sewa menjadi tumpuan ramai kerana ia memberikan alternatif praktikal kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang masih belum mampu membeli rumah sendiri.
Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan rumah untuk disewa secara konvensional, tetapi turut menawarkan mekanisme simpanan automatik.
Mekanisme ini membantu rakyat merancang kewangan jangka panjang, membina aset dan pada masa yang sama memupuk tanggungjawab dalam mengekalkan kediaman mereka.
Skim Smart Sewa direka dengan fleksibiliti tinggi untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan penyewa. Tempoh sewaan yang ditetapkan adalah minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.
Keadaan ini membolehkan penyewa menyesuaikan diri dengan kos hidup dan membuat perancangan kewangan secara berperingkat.
Sepanjang tempoh sewa, penyewa membayar kadar sewa yang berpatutan dan secara automatik membina modal untuk pembelian rumah di masa hadapan melalui mekanisme 30% bayaran sewa yang dikembalikan.
Selepas tamat tempoh sewaan, penyewa akan diberikan keutamaan untuk membeli unit Rumah Selangorku. Ianya tertakluk kepada kekosongan unit.
Sistem ini akan memudahkan penyewa membuat peralihan dari penyewa kepada pemilik rumah tanpa perlu menghadapi tekanan pinjaman perumahan secara penuh pada satu masa.
Dengan kata lain, skim ini bukan sahaja menyediakan rumah untuk didiami tetapi juga menyediakan laluan yang selamat dan jelas untuk membina aset peribadi.
Siapa yang layak memohon?
Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan berkeluarga atau mempunyai tanggungan. Had pendapatan isi rumah menjadi salah satu kriteria utama kelayakan:
Rumah jenis A (kos rendah): Pendapatan bulanan maksimum RM5,000.
Rumah jenis B, C & D (kos sederhana dan sederhana rendah): Pendapatan bulanan maksimum RM15,000. Dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM10,000.
Selain itu, pemohon atau pasangan perlu tinggal atau bekerja di Negeri Selangor. Pemohon juga tidak memiliki rumah sendiri di negeri ini atau rumah mereka berada lebih daripada 50 km dari lokasi rumah yang dipohon.
Tempat kerja pemohon juga mesti berada dalam lingkungan 25 km perjalanan ke rumah yang dipohon. Tambahan pula, pemohon mesti merupakan pengundi berdaftar di Selangor.
Syarat ini ditetapkan bagi memastikan inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tempatan.
Proses permohonan skim ini direka agar mudah diikuti oleh semua lapisan masyarakat:
Muat turun borang permohonan- Borang boleh diperoleh melalui laman web rasmi LPHS atau PHSSB.
Sediakan dokumen sokongan- Dokumen penting termasuk salinan MyKad, slip gaji dan bil utiliti. Selain itu bukti pekerjaan atau tempat tinggal di Selangor juga perlu dilampirkan.
Hantar permohonan- Borang dan dokumen sokongan boleh dihantar ke pejabat PHSSB atau melalui emel rasmi [email protected].
Proses semakan dan kelulusan- Jika layak, pemohon akan dihubungi untuk menandatangani perjanjian sewa sebelum memulakan tempoh sewaan.
Dengan aliran proses yang jelas dan telus, pemohon dapat memahami setiap langkah dan memastikan tiada kekeliruan ketika memohon skim ini.
Lokasi projek
Anda boleh layari portal rasmi PHSSB untuk menyemak senarai lokasi projek Skim Smart Sewa beserta maklumat kos sewaan yang terlibat.
Skim Smart Sewa Selangor bukan sekadar menyediakan kediaman sementara tetapi turut membina asas kewangan yang kukuh bagi penyewa.
Mekanisme ini membolehkan penyewa menabung secara automatik melalui sebahagian daripada bayaran sewa yang dibayar.
Sebanyak 30% daripada sewa yang telah dibayar akan dikembalikan dan boleh digunakan sebagai wang pendahuluan untuk pembelian rumah.
Selain itu, skim ini juga memberikan keselesaan dari segi kos kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah berpatutan. Ianya sejajar dengan kemampuan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Dengan tempoh sewaan yang fleksibel, penyewa dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan merancang kewangan keluarga dengan lebih teratur.
Mereka juga berpeluang menilai kemampuan sendiri sebelum mengambil langkah untuk membeli rumah secara tetap.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan penyewa tetapi juga membina disiplin kewangan dan kesedaran aset peribadi sejak awal.
Selain daripada manfaat kewangan dan peluang untuk membeli rumah, Skim Smart Sewa turut menawarkan beberapa kelebihan tambahan yang menjadikannya lebih menarik bagi rakyat.
Dari segi keselamatan, rumah yang disediakan berada di kawasan perumahan yang terancang. Skim ini juga membuka peluang sosial kerana penyewa dapat menetap di komuniti yang terdiri daripada golongan berpendapatan sama.
Antara lain, ia juga membantu dalam perancangan jangka masa yang panjang. Penyewa dapat merancang perbelanjaan bulanan, mengurus tanggungan keluarga serta menabung untuk masa depan dengan lebih sistematik.
Tambahan pula, skim ini memberi fleksibiliti dalam pemilihan rumah. Penyewa berpeluang memilih unit yang sesuai mengikut jenis dan keperluan keluarga masing-masing.
Kesimpulannya, Skim Smart Sewa Selangor adalah alternatif bijak untuk mereka yang masih belum mampu membeli rumah tetapi ingin membina aset peribadi secara berperingkat.
Melalui sistem sewa dengan pengembalian sebahagian bayaran, rakyat bukan sahaja mendapat tempat tinggal yang selesa tetapi juga laluan jelas untuk memiliki rumah sendiri tanpa tekanan kewangan yang berlebihan.
Bagi mereka yang bercita-cita memiliki rumah sendiri di Selangor, Skim Smart Sewa bukan sekadar peluang. Ia adalah strategi kewangan yang membina masa depan lebih stabil dan terjamin.
Penyertaan awal dalam skim ini memberikan kelebihan dari segi perancangan kewangan, keselamatan keluarga dan peluang untuk menjadi pemilik rumah yang berwawasan.
Sumber : projekrumahselangorku.com, PHSSB