Pengguna perkhidmatan bas rentas sempadan Causeway Link dari stesen Newton dan Queen Street di Singapura ke Johor Bahru akan beralih sepenuhnya kepada pembayaran tanpa tunai bermula Khamis.
Causeway Link dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, pembayaran secara tunai tidak lagi diterima di dalam bas, namun penumpang masih boleh membeli tiket menggunakan wang tunai sebelum menaiki perkhidmatan berkenaan.

Menurut pengendali bas itu, antara pilihan pembayaran tanpa tunai yang boleh digunakan di dalam bas ialah kad Visa dan Mastercard, ManjaLink, aplikasi LUGO serta kad ezLink.
Bagi penumpang yang ingin menggunakan wang tunai, mereka boleh membeli tiket di kiosk ManjaLink di Queen Street atau daripada petugas Causeway Link di Newton.
Menurut laman sesawang rasmi Causeway Link, pembayaran secara tunai tidak lagi diterima di dalam semua perkhidmatan bas rentas sempadan dan bas pengantara syarikat itu mulai 1 Oktober 2026.
Langkah berkenaan, jelasnya, bertujuan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih pantas dan lancar kepada penumpang.

