Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Angka korban akibat ribut dahsyat di beberapa kawasan di China meningkat kepada 15 orang pada Selasa, dengan ratusan lagi cedera dan puluhan ribu penduduk dipindahkan, lapor AFP.
Agensi berita kerajaan, Xinhua, melaporkan bahawa ribut petir dan angin kencang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang serta mencederakan 331 yang lain di wilayah tengah Hubei, selepas beberapa bandar dilanda 'cuaca perolakan teruk.
Manakala puting beliung turut dilaporkan berlaku di kawasan lain lewat Isnin.
Dalam kejadian itu, sebanyak 4,800 rumah mengalami kerosakan dan 22 lagi runtuh.
“Episod cuaca perolakan teruk ini dicirikan oleh kejadiannya yang berlaku secara tiba-tiba serta angin kencang dalam tempoh singkat,” tambah laporan itu.
Sementara itu, di wilayah selatan Guangxi, hujan lebat dan banjir besar akibat Taufan Maysak mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, manakala sekurang-kurangnya 50,000 penduduk dipindahkan serta lapan lagi masih dilaporkan hilang.

Pihak berkuasa di Nanning, ibu kota Guangxi pula menaikkan tindak balas kecemasan kawalan banjir ke tahap tertinggi selepas hujan lebat menyebabkan beberapa empangan pecah.
Rakaman dramatik yang dikongsi CCTV menunjukkan arus deras air berlumpur mengalir laju melepasi dinding konkrit sebuah empangan takungan yang runtuh.
Dalam pada itu, tanah runtuh di sebuah kampung di wilayah barat laut Gansu menimbus 33 orang pada pagi Selasa, dengan 17 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun, CCTV tidak menyatakan punca kejadian itu.
Pihak berkuasa tempatan sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari mangsa yang masih terperangkap, menempatkan dan menyusun semula penduduk terjejas dengan sewajarnya, serta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap bencana susulan.
Presiden China, Xi Jinping berkata pasukan penyelamat perlu 'berusaha habis-habisan' dalam mengatur operasi kecemasan.
Beliau turut menekankan kepentingan merawat mangsa yang cedera, menempatkan semula penduduk terjejas, serta melaksanakan kerja-kerja pencegahan dan bantuan bencana dengan berkesan.
Rakaman media kerajaan menunjukkan anggota penyelamat yang memakai jaket keselamatan dan topi keledar mencari mangsa, manakala pasukan lain digerakkan menggunakan bot getah.
Untuk pengetahuan, bencana alam lazim berlaku di seluruh China, khususnya pada musim panas, apabila sebahagian wilayah mengalami hujan lebat manakala kawasan lain berdepan cuaca panas melampau.
Para saintis memberi amaran bahawa intensiti dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem global akan meningkat apabila suhu bumi terus meningkat akibat pelepasan bahan api fosil.
China merupakan pengeluar gas rumah hijau terbesar di dunia, namun negara itu juga merupakan kuasa besar tenaga boleh diperbaharui global yang menyasarkan untuk menjadikan ekonomi besarnya neutral karbon menjelang 2060.