Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

China Gantikan Wajah Selebriti Dengan Saintis Di Billboard Gergasi, Cetus Inspirasi Generasi Muda

SAINTIS
Kredit: @XH_Lee23

Bayangkan anda sedang berjalan di sebuah pusat beli-belah, tetapi wajah yang terpampang di skrin gergasi bukanlah pelakon, penyanyi atau atlet terkenal, sebaliknya saintis yang banyak berjasa kepada negara.

Itulah pemandangan yang semakin biasa dilihat di beberapa bandar di China apabila potret tokoh saintis dipaparkan pada billboard dan skrin digital awam, menggantikan iklan komersial serta wajah selebriti.

Antara tokoh yang diketengahkan ialah saintis roket Qian Xuesen, pemenang Hadiah Nobel Tu Youyou dan saintis pertanian Yuan Longping, lengkap dengan pencapaian serta sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

Kempen awam berkenaan dipercayai bermula di Shandong sebelum diperluaskan ke beberapa wilayah lain termasuk Anhui, Henan, Jiangxi dan Inner Mongolia.

Menariknya, paparan tersebut bukan sekadar menjadi tontonan orang ramai, malah ada yang berhenti untuk mengambil gambar bersama potret tokoh saintis berkenaan.

Gambar: CGTN

Saintis Jadi 'Selebriti' Baharu?

Langkah tersebut mencetuskan perbincangan mengenai siapa yang patut dijadikan idola dan wajah yang paling menonjol dalam ruang awam.

Kempen itu dilihat sebagai usaha mengetengahkan saintis yang menghasilkan penemuan serta pencapaian penting kepada masyarakat, sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan tokoh popular seperti selebriti dan atlet.

Perkara itu turut mendapat perhatian perunding dan jurulatih dari India, Sanjay Goel, yang berkongsi pandangannya menerusi LinkedIn.

Goel membandingkan pendekatan China dengan India dan berpendapat golongan seperti saintis, doktor, jurutera, penyelidik, guru serta anggota tentera juga wajar diberi lebih banyak pengiktirafan sebagai contoh kepada masyarakat.

Menurutnya, kanak-kanak yang kerap melihat wajah saintis serta membaca tentang pencapaian mereka mungkin terdorong untuk mengenali dan menjadikan tokoh berkenaan sebagai sumber inspirasi.

Beliau turut mengambil contoh India yang sudah mempunyai tokoh seperti Dr A.P.J. Abdul Kalam, namun berpandangan lebih ramai individu yang memberi sumbangan kepada negara boleh diketengahkan kepada masyarakat.

Gambar: CCTV

Bila Saintis Menghiasi Skrin Paling Besar

Goel turut menyentuh bagaimana ruang awam biasanya dipenuhi wajah ahli politik, pelakon, pemain kriket dan pelbagai iklan komersial.

Namun, katanya, situasi akan menjadi lebih menarik sekiranya wajah individu yang mewakili keberanian, penemuan, khidmat dan sumbangan kepada negara turut diberikan ruang yang sama.

Intipati
  • Potret saintis kini dipaparkan pada billboard dan skrin digital awam di China.
  • Tokoh diketengahkan termasuk Qian Xuesen, Tu Youyou dan Yuan Longping bersama pencapaian mereka.
  • Sanjay Goel berkata paparan saintis boleh mendorong kanak-kanak menjadikan mereka sumber inspirasi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan