Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cirit-Birit Ketika Haid Rupanya Normal Bagi Sesetengah Wanita

Cirit-Birit Ketika Haid
Gambar Hiasan

Bagi kebanyakan wanita, haid merupakan perkara biasa yang akan dilalui setiap bulan sebagai sebahagian daripada kitaran badan.

Namun, datang bulan kadang-kadang turut disertai beberapa simptom seperti payudara terasa tegang, perut kembung, sakit kepala, sakit perut dan cirit-birit.

Baru-baru ini, seorang pengguna Threads, @nfa_ma, berkongsi pengalamannya mengalami senggugut dan cirit-birit ketika datang bulan.

Disebabkan simptom tersebut, dia kemudiannya pergi ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan serta sijil cuti sakit.

Namun, selepas selesai pemeriksaan, pembantu klinik tersebut mempersoalkan sama ada @nfa_ma benar-benar mengalami sakit senggugut ketika dia mengambil sijil cuti sakit dan ubat.

“Tadi MC sebab period pain kemudian aku cakap dekat doktor yang aku cirit-birit jugak. Masa nak ambik ubat pembantu klinik (CA) tu macam pertikai aku ni sakit perut ke sakit senggugut sebab cirit birit,” katanya.

@nfa_ma kemudian menjelaskan bahawa setiap kali datang haid, dia sememangnya turut mengalami cirit-birit, namun penjelasan itu seolah-olah masih tidak meyakinkan pembantu klinik tersebut.

“Aku terangkan dekat dia yang bila period memang aku akan cirit-birit tapi muka dia tak percaya wehhh. Salah ke aku period dan cirit-birit. Aku ni dah la sejenis senang sembelit, jadi bila period memang aku lawas,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mempertikaikan tindakan pembantu klinik tersebut kerana fenomena cirit-birit semasa haid itu adalah biasa.

Pengguna @mia_shukry berkata di ruangan komen, apabila wanita sedang haid, hormon prostaglandin akan merangsang pengeluaran darah dan juga usus!

Betul Ke Bila Haid Wanita Lebih Mudah 'Membuang'?

Sebenarnya, perubahan hormon ketika haid boleh mempengaruhi sistem pencernaan, termasuk menyebabkan sesetengah wanita lebih kerap membuang air besar.

Antara hormon yang memainkan peranan ialah prostaglandin, yang membantu rahim mengecut untuk mengeluarkan lapisan rahim dan menyebabkan senggugut.

Namun, prostaglandin juga boleh merangsang pengecutan otot usus, sekali gus menyebabkan najis lebih cair atau membuatkan seseorang lebih kerap ke tandas.

Sebab itu, cirit-birit dan sakit perut boleh menjadi antara simptom sistem pencernaan yang dialami ketika haid.

Ada Kaitan Dengan Endometriosis?

Cirit-birit ketika haid juga boleh dialami wanita yang mempunyai endometriosis, sama ada disebabkan prostaglandin atau tisu endometrium yang tumbuh berhampiran usus.

Jika cirit-birit ketika haid sukar dikawal, wanita yang mempunyai endometriosis disarankan mendapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Pada masa yang sama, cirit-birit ketika datnag bulan juga boleh disebabkan faktor lain seperti tekanan, makanan, intoleransi makanan dan ubat-ubatan.

Gambar Hiasan

Macam mana Nak Kurangkan Cirit-Birit Ketika Haid?

Biasanya, cirit-birit ketika haid akan pulih sendiri selepas hormon kembali stabil selepas haid, tapi pastikan badan kekal terhidrat dengan minum air secukupnya bagi menggantikan cecair yang hilang disebabkan cirit-birit.

Ubat cirit-birit tanpa preskipsi juga boleh dipertimbangkan mengikut arahan pada label atau nasihat ahli farmasi.

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Jika cirit-birit semakin teruk, berlarutan lebih dua hari atau mengganggu aktiviti harian, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor.

Begitu juga jika mengalami sakit perut atau pelvis yang teruk, atau terdapat darah dan lendir pada najis.

Intipati
  • Perubahan hormon ketika haid boleh menyebabkan sesetengah wanita lebih kerap membuang air besar.
  • Prostaglandin membantu rahim mengecut, tetapi turut boleh merangsang pengecutan otot usus.
  • Pemeriksaan doktor disaran jika cirit-birit berlarutan, semakin teruk atau disertai darah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan