Kalau pesan pizza untuk dibawa pulang atau dihantar ke rumah, mesti pernah nampak plastik kecil berwarna putih di tengah kotak, kan?
Bentuknya pula macam meja mini berkaki tiga, sebab itu ada yang menganggapnya sebagai “meja pizza” ketika masih kecil.
Tahu tak yang benda kecil itu sebenarnya bukan sekadar aksesori, tapi ada fungsi penting untuk selamatkan pizza?
Lagi menarik, “meja pizza” ini sebenarnya ada nama rasmi yang mungkin ramai belum tahu, iaitu pizza saver.
Di sebalik ciptaan kecil yang ramai mungkin tak pernah fikirkan ini, ada seorang wanita bernama Carmela Vitale.
Sebelum Kotak Pizza Ada “Meja Kecil”, Pizza Saver
Penghantaran pizza sebenarnya sudah bermula sejak dahulu lagi, malah antara kisah awalnya ada kaitan dengan golongan diraja.
Pada tahun 1889, Raja Umberto I dikatakan meminta cef terkenal Raffaee Esposito untuk menyediakan hidangan berkualiti untuk isterinya, Ratu Margherita.
Esposito kemudian menghasilkan pizza yang kini dikenali sebagai pizza Margherita, lengkap dengan mozzarella dan tomato sebelum menghantarnya sendiri kepada Ratu Margherita.

Apabila pizza semakin popular dan mula dihantar kepada pelanggan, satu masalah mula muncul apabila pizza panas dimasukkan ke dalam kotak.
Wap panas daripada pizza boleh membuatkan penutup kotak menjadi lembik sebelum akhirnya melentur ke bawah dan terkena keju serta topping.
Bayangkan dah lapar, buka kotak dengan penuh harapan, sekali keju melekat dekat penutup dan pizza pula jadi bersepah.
Carmela Datang Dengan Penyelesaian
Masalah inilah yang mendorong Carmela Vitale dari Long Island menghasilkan ciptaan kecil berbentuk tripod untuk diletakkan di tengah kotak pizza.
Pada tahun 1983, Carmela memohon paten untuk ciptaan tersebut, dan patennya diluluskan dua tahun kemudian.
Kedudukannya di tengah kotak membantu menghalang penutup daripada jatuh dan terkena pizza yang ada di bawah.
Sejak itu, benda kecil berbentuk meja tersebut menjadi penyelamat pizza yang mungkin selama ini kita ambil mudah.
Walaupun ciptaannya cukup berguna, kisah mengenai Carmela sendiri sebenarnya masih penuh misteri kerana maklumat tentang dirinya sangat terhad.
Seorang pencipta makanan bernama Alison Grieve menghabiskan masa selama dua tahun untuk cuba menjejaki Carmela, tetapi masih belum berjaya.
Grieve berharap suatu hari nanti dapat bertemu Carmela dan mendengar sendiri kisah di sebalik ciptaan kecil yang membantu “menyelamatkan” pizza ramai orang.
Jadi, lain kali bila buka kotak pizza dan nampak “meja kecil” itu, jangan pelik kalau ia sebenarnya antara benda paling penting dalam kotak tersebut.

