Bukan semua kejayaan dalam rehabilitasi bermaksud pesakit boleh berjalan semula sepenuhnya tanpa bantuan. Bagi sesetengah pesakit, keupayaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada penjaga sudah merupakan suatu kejayaan.
Jika pesakit boleh melakukan sendiri tugasan harian seperti makan, menukar baju, menggunakan tandas; memperoleh semula keyakinan diri untuk berdikari, sebarang langkah kecil juga suatu kejayaan.
Inilah yang dikongsikan semasa sesi meja bulat media anjuran Columbia Asia Extended Care Hospital Shah Alam (CAECHSA) baru-baru ini, bertemakan “Melangkaui Discaj: Memulihkan Kemandirian Melalui Penjagaan Berterusan”.
Sesi ini menampilkan perkongsian daripada pegawai perubatan, rehabilitasi dan jururawat CAECHSA bersama seorang pesakit strok dan penjaganya.
Perbincangan tersebut memberikan gambaran lebih dekat mengenai peranan mereka yang terlibat dalam proses rehabilitasi, daripada menetapkan matlamat sehinggalah memastikan kemahiran yang dipelajari dapat diterapkan dalam aktiviti harian pesakit.
Mengukur Kemajuan yang Bermakna
Di CAECHSA, proses rehabilitasi bermula dengan memahami keupayaan semasa seseorang pesakit, perkara yang masih memerlukan bantuan serta perkara yang ingin dicapai sepanjang proses pemulihan.
Fisioterapi menilai aspek seperti fungsi fizikal, kekuatan, keseimbangan dan pergerakan, manakala terapi carakerja memberi tumpuan kepada aktiviti harian, fungsi anggota atas dan keupayaan kognitif.
Terapi pertuturan pula membantu menangani aspek komunikasi dan keupayaan menelan. Pakar-pakar rehabilitasi turut mengambil kira keinginan individu setiap pesakit, sama ada keinginan untuk berjalan, bergerak dari satu posisi ke posisi yang lain dengan selamat, memakai pakaian sendiri, berkomunikasi atau kembali bekerja.
Matlamat pemulihan ditetapkan bersama pesakit dan, jika bersesuaian, ahli keluarga atau penjaga. Ia disemak dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan keupayaan pesakit sepanjang proses pemulihan.
Tahap bantuan yang diperlukan juga boleh menjadi salah satu ukuran kemajuan. Seseorang pesakit mungkin pada awalnya memerlukan bantuan fizikal yang banyak, sebelum beralih kepada bantuan yang lebih minimum, pemantauan sahaja dan, jika keadaan mengizinkan, melakukan aktiviti secara sendiri.
Aspek keselamatan, kualiti pergerakan dan keyakinan turut dinilai bersama ukuran objektif yang digunakan untuk memantau pergerakan dan fungsi pesakit.
“Peranan kami bukan sekadar membantu pesakit melakukan sesuatu senaman. Kami membantu mereka mencapai matlamat yang penting dalam kehidupan mereka, sama ada untuk berdiri dengan selamat, memakai pakaian sendiri atau kembali bekerja.
“Ada kalanya kemajuan itu kelihatan kecil pada pandangan orang lain, tetapi bagi pesakit, memerlukan bantuan yang kurang berbanding hari sebelumnya sudah menjadi satu langkah yang sangat bermakna,” kata Encik Mohd Firdaus Zaina Salleh, Pengurus Perkhidmatan Rehabilitasi di CAECHSA.
Pemantauan perubatan juga kekal penting sepanjang proses tersebut. Selepas kondisi akut pesakit stabil, pasukan perubatan masih perlu mempertimbangkan aspek seperti keupayaan kognitif, pergerakan dan fungsi harian, ketersediaan penjaga, keperluan peralatan serta kesesuaian persekitaran rumah dengan keperluan pesakit.
“Tanggungjawab kami adalah untuk melihat keadaan pesakit secara menyeluruh, bukan hanya keadaan perubatan mereka telah stabil. Kami juga perlu memahami sama ada mereka mampu berfungsi dengan selamat pada peringkat seterusnya dan sama ada sokongan yang diperlukan telah tersedia.
“Pemulihan bukan sekadar memastikan seseorang itu cukup sihat untuk meninggalkan persekitaran penjagaan, tetapi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi apa yang seterusnya,” kata Dr Nur Lidiya Nadiah Zulkifli, Pegawai Perubatan Residen di CAECHSA.
Pemulihan yang Berterusan Sepanjang Hari
Sesi terapi secara formal hanyalah sebahagian daripada proses rehabilitasi seseorang pesakit. Di CAECHSA, jururawat bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan dan rehabilitasi untuk memahami matlamat setiap pesakit serta membantu mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari melalui aktiviti harian seperti bangun dari katil, berjalan, makan dan menguruskan penjagaan diri.
Sokongan ini turut merangkumi aspek emosi sepanjang proses rehabilitasi. Pesakit mungkin berasa letih, takut atau kurang yakin terhadap keupayaan diri sendiri. Setiap individu juga mungkin memerlukan bentuk galakan yang berbeza ketika menyesuaikan diri dengan perkara yang mampu dan belum mampu dilakukan.
“Sebahagian besar daripada peranan kejururawatan rehabilitasi ialah mengetahui bila harus membantu dan bila tidak harus membantu pesakit dalam proses pemulihan.
“Adakala, kita menggalakkan pesakit untuk mencuba sendiri. Ia bukan mudah apabila seseorang itu keletihan, takut atau hilang keyakinan, tetapi melakukan segala-galanya untuk mereka juga boleh menghilangkan peluang untuk mereka berlatih.
“Kami berada bersama mereka sepanjang hari untuk memberikan sokongan, galakan dan membantu mereka menerapkan apa yang dipelajari semasa terapi dalam kehidupan seharian,” kata Puan Suriani Zainal, Ketua Perkhidmatan Kejururawatan di CAECHSA.
Kerjasama antara pasukan perubatan, rehabilitasi dan kejururawatan membolehkan matlamat rehabilitasi pesakit diteruskan secara konsisten sepanjang hari.
Pemerhatian daripada setiap pasukan turut dikongsikan bagi membolehkan bentuk sokongan yang disesuaikan mengikut perkembangan dan keperluan pesakit.
Apabila Kemajuan Menjadi Matlamat Peribadi
Bagi Encik Abdul Wahid, 58, yang menjalani rehabilitasi di CAECHSA selepas mengalami strok, setiap kemajuan yang dicapai membawa makna yang tersendiri.
Sebelum mengalami strok, beliau bekerja sebagai pemandu lori dan menjalani kehidupan yang aktif serta berdikari. Selepas strok, kelemahan pada bahagian kiri badan menyebabkan beliau tidak lagi mampu berdiri atau berjalan, selain mengalami masalah pertuturan dan menelan.
Beliau turut bergantung kepada orang lain untuk melakukan aktiviti asas seperti makan, ke tandas dan menguruskan penjagaan diri.
“Cabaran paling besar ialah apabila saya tidak lagi mampu melakukan perkara sendiri dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Malah untuk ke tandas pun saya memerlukan bantuan. Saya berasa sangat sedih kerana sebelum ini saya sentiasa aktif,” kata Encik Abdul Wahid.
Sepanjang 83 hari menjalani rehabilitasi di CAECHSA, beliau menerima sokongan daripada pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, ahli fisioterapi, ahli terapi carakerja dan ahli terapi pertuturan.
Program rehabilitasi beliau memberi tumpuan kepada beberapa aspek secara serentak, termasuk pergerakan dan keseimbangan, aktiviti harian, komunikasi serta keupayaan menelan.
Antara pencapaian yang paling diingatinya ialah apabila beliau akhirnya dapat berjalan semula dan menggunakan tangga dengan bantuan alat berjalan. Bagi beliau, keupayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat bermakna selepas pada awalnya tidak mampu berdiri atau berjalan tanpa bantuan.
Namun, proses pemulihannya masih berterusan. Walaupun beliau terus berusaha mengekalkan pergerakan di rumah, kelemahan pada tangan kirinya masih dirasai dan corak berjalannya belum pulih sepenuhnya. Susulan fisioterapi juga masih disarankan bagi menyokong pemulihan seterusnya.
Pengalaman Encik Abdul Wahid menggambarkan bagaimana proses rehabilitasi melibatkan kerjasama pelbagai profesional yang berusaha mencapai matlamat yang ditetapkan berdasarkan keperluan setiap pesakit.
Di CAECHSA, penyelarasan ini merangkumi pemantauan perubatan, rehabilitasi berstruktur serta sokongan jururawat sepanjang hari, dengan kemajuan dinilai berdasarkan perkara yang ingin dicapai oleh setiap pesakit secara selamat dan realistik.

