NEW YORK, 7 Okt (Bernama-Xinhua) -- Cornell University pada Selasa melantik bekas pegawai kanan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) untuk menyemak pengendalian universiti itu berhubung dakwaan rogol berkumpulan membabitkan seorang pelajar pada 2024 dalam tuntutan mahkamah yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara serta protes pelajar di institusi pengajian tinggi Ivy League AS itu, lapor Xinhua.
Sally Yates, yang berkhidmat sebagai Timbalan Peguam Negara AS dari 2015 hingga 2017, akan mengetuai siasatan itu, menurut universiti berkenaan dalam satu kenyataan.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan bulan lepas, mangsa yang menggunakan nama samaran Jane Doe mendakwa beliau diberikan dadah dan alkohol sebelum diserang secara seksual oleh beberapa anggota persatuan mahasiswa lelaki Chi Phi di Cornell University pada Oktober 2024 selepas beliau berada dalam keadaan tidak berdaya.
Susulan dakwaan awal Doe pada 2024, Cornell menutup persatuan mahasiswa lelaki Chi Phi itu dan mengenakan pelbagai tindakan disiplin terhadap pelajar yang dituduh, termasuk tindakan buang universiti dan sekatan lain. Namun, Doe mendakwa universiti itu gagal menjalankan siasatan sewajarnya serta mengenakan hukuman terhadap anggota persatuan berkenaan yang terbabit.
Kira-kira 1,000 pelajar dan warga akademik Cornell berhimpun pada Isnin bagi menuntut tindakan lebih tegas terhadap keganasan seksual di kampus serta kebertanggungjawapan. Sebahagian penunjuk perasaan turut menggesa Presiden Cornell Michael Kotlikoff meletak jawatan.
Sementara itu, pengguna media sosial menyatakan sokongan terhadap mangsa dengan berkongsi tanda pagar #IAmJaneDoe di TikTok, X dan Instagram, manakala pengkritik menyalahkan pendakwa raya tempatan kerana enggan memfailkan pertuduhan jenayah pada 2024.

