Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengarahkan masjid di seluruh negara itu untuk memendekkan khutbah Jumaat susulan keadaan cuaca yang mencabar, bermula dari Jumaat lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, MUIS berkata Singapura kini mengalami cuaca yang semakin panas, manakala beberapa kawasan turut mengalami jerebu.
“Bermula dari minggu 21 Ogos 2026, khutbah Jumaat akan dipendekkan untuk memastikan jemaah selesa dalam keadaan cuaca yang mencabar ini.
“Biasanya, teks khutbah pertama adalah sebanyak enam hingga tujuh halaman. Tetapi berdasarkan perubahan sementara ini, teks khutbah pertama ini akan dipendekkan kepada empat halaman,” kata MUIS dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, MUIS turut memaklumkan bahawa perubahan itu hanya bersifat sementara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Khutbah Jumaat Di Singapura Dipendekkan Susulan Cuaca Panas & Jerebu
“Menjaga kesihatan dan mengelakkan kemudaratan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam,” kata MUIS.
MUIS turut berharap langkah ini dapat memudahkan jemaah untuk berhimpun, beribadah dan kekal selesa dalam keadaan cuaca yang mencabar ini.
Sekadar info, keadaan jerebu yang melanda rantau ini dikaitkan dengan cuaca kering serta peningkatan titik panas dan kebakaran di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.
Asap daripada kebakaran berkenaan berpotensi dibawa angin ke Singapura, terutama ketika keadaan kering berterusan.
Keadaan jerebu turut dilaporkan di beberapa kawasan di Malaysia, terutama di Sarawak, dengan beberapa lokasi merekodkan bacaan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kesihatan, kekal terhidrat dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar rumah.

