Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kemalangan maut yang meragut nyawa seorang pegawai polis dan seorang guru di Kilometer 29 Jalan Kuala Kangsar-Baling berhampiran Restoran Tasik Raban, Gerik petang semalam dipercayai berpunca daripada cubaan memotong yang gagal.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu pegawai polis terbabit dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika kenderaan itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Kangsar.
“Situasi itu menyebabkan kereta berkenaan bertembung dengan sebuah Honda Odyssey yang membawa enam guru wanita dan sedang menuju ke arah Gerik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ketika kejadian, MPV tersebut dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun bersama lima lagi penumpang berusia antara 29 hingga 55 tahun.
Salah seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Zuraida Abu Bakar, 47, yang bertugas di Kolej Vokasional Gerik, manakala seorang lagi mangsa ialah Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.
Abdul Samad berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.