Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

CUEPACS Cadang Kenaikan Dua Peratus Pencen Pesara Kekal

Iqbal Yasir
CUEPACS Kenaikan Pencen Pesara Kekal
Gambar: Bernama

CUEPACS Cadang Kenaikan Dua Peratus Pencen Pesara Kekal

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus setiap tahun dikekalkan sehingga kerajaan melaksanakan pelarasan gaji baharu penjawat awam.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia mungkin boleh dikekalkan melalui bentuk pemberian lain seperti insentif sara hidup berbanding dihentikan serta-merta.

“Tidak wajar setiap kemudahan yang dinikmati oleh pesara ditarik semula tanpa digantikan dengan suatu kemudahan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, CUEPACS menghormati keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.

“CUEPACS berpandangan kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus secara tahunan telah terbatal dengan sendirinya disebabkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

BACA JUGA: CUEPACS Mohon Gaji Minimum Penjawat Awam RM1,800

Dalam hal ini, Adnan berkata CUEPACS memohon kerajaan agar tidak menuntut atau mengambil semula pembayaran kenaikan dua peratus itu yang telah dibuat sejak 2013 kerana telah dinikmati oleh pesara dan jumlah itu tidaklah terlalu besar untuk mereka yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan M40 dan B40.

Justeru, katanya CUEPACS berharap kerajaan menyegerakan pelarasan gaji penjawat awam yang secara tidak langsung akan turut memberi manfaat kepada pesara kerajaan ketika ini, memandangkan semakan terhadap gaji sektor awam telah lama tidak dilakukan.

“Berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, ini akan menyebabkan pesara kerajaan tidak akan menerima manfaat selagi mana semakan gaji sektor awam tidak dilakukan. Kerajaan perlu serius dalam hal ini bagi memastikan kebajikan warga penjawat awam dan pesara kerajaan tidak diabaikan,” katanya.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Sumber: BERNAMA