Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cuma Beza RM3K, Ini Persamaan & Perbezaan Spesifikasi S70 Lite, Prime

S70 Lite Prime
Kredit: Proton

Cuma Beza RM3K, Ini Persamaan & Perbezaan Spesifikasi S70 Lite, Prime

PROTON malam ini secara rasmi mengumumkan harga bagi dua varian S70 2026, iaitu S70 1.5 Lite dan S70 1.5 Prime.

Bagi penggemar kereta ini, harga atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia, S70 1.5 Lite ditawarkan pada harga RM59,800, manakala S70 1.5 Prime pula berharga RM62,800.

Namun, sempena pelancarannya, Proton menawarkan rebat RM3,000 bagi kenderaan yang didaftarkan sehingga 31 Disember 2026.

Selepas rebat tersebut, harga S70 Lite menjadi RM56,800, manakala S70 Prime pula RM59,800.

Dengan perbezaan harga hanya RM3,000, mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya persamaan dan perbezaan antara kedua-dua varian ini?

Persamaan S70 Lite Dan Prime

Dari segi enjin, kedua-dua varian menggunakan unit sama iaitu i-GT 1.5 liter Naturally Aspirated (NA).

Enjin baharu itu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork 150 Nm, selain dipadankan dengan transmisi CVT bersama torque converter.

Menurut Proton, enjin tersebut telah menjalani lebih 5,400 jam ujian dyno dan lebih 412,000 kilometer ujian jalan raya.

Ia turut menggunakan beberapa teknologi seperti Otto-Atkinson Cycle, Dual Variable Valve Timing (DVVT) dan Electric Water Pump Thermal Management bagi membantu meningkatkan kecekapan bahan api.

Dari segi keselamatan pula, Lite dan Prime turut berkongsi beberapa ciri penting.

Antaranya termasuk enam beg udara SRS, Electronic Stability Control (ESC), Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Rear Collision Warning (RCW) dan Door Opening Warning (DOW).

Kedua-duanya turut hadir dengan Electric Parking Brake (EPB), cruise control, kamera undur, Remote Engine Start serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara wayarles.

Maksudnya, walaupun Lite merupakan varian lebih rendah, banyak ciri utama masih dikekalkan.

Apa Pula Beza S70 Lite Dan Prime?

Perbezaan utama antara kedua-duanya lebih tertumpu kepada aspek penampilan, keselesaan dan beberapa ciri tambahan.

Untuk bahagian luaran, S70 Lite hadir dengan lampu utama halogen, LED Daytime Running Lights dan rim aloi 16 inci.

S70 Prime pula dinaik taraf dengan lampu utama LED, lampu utama automatik, cermin sisi lipat automatik serta rim aloi 17 inci.

Masuk ke bahagian kabin, Lite menggunakan kerusi fabrik, manakala Prime tampil lebih premium dengan upholsteri kulit sintetik.

Prime turut menerima stereng balutan kulit sintetik dan pendingin hawa automatik.

Satu lagi perbezaan ialah sistem bantuan parkir.

Lite hadir dengan sensor parkir belakang, manakala Prime menerima tambahan sensor parkir hadapan.

Lite Pun Dah Agak Lengkap

Walaupun berada pada harga lebih rendah, S70 Lite masih dilengkapi skrin infotainmen 8 inci, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur, cruise control serta beberapa sistem bantuan keselamatan.

Jadi, pembeli Lite masih menerima sebahagian besar ciri asas dan keselamatan yang ditawarkan pada S70 2026.

Prime pula lebih sesuai untuk mereka yang mahukan beberapa tambahan dari sudut keselesaan dan penampilan seperti lampu LED, rim lebih besar, upholsteri kulit sintetik dan pendingin hawa automatik.

Beza RM3,000

Secara ringkasnya, kedua-dua varian berkongsi enjin, prestasi dan kebanyakan ciri keselamatan yang sama.

Perbezaan RM3,000 pula lebih kepada ciri keselesaan, kemasan kabin dan penampilan luaran.

Dengan harga selepas rebat bermula RM56,800, pembeli kini mempunyai pilihan sama ada mahu mendapatkan S70 Lite yang sudah cukup lengkap atau menambah sedikit untuk mendapatkan beberapa ciri tambahan pada Prime.

Bagi pembeli S70 2026, Proton turut menawarkan waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had serta enam kali servis buruh percuma.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Proton mengumumkan harga S70 Lite dan Prime selepas rebat masing-masing RM56,800 dan RM59,800.
  • Kedua-dua varian menggunakan enjin 1.5 liter NA, transmisi CVT dan ciri keselamatan utama.
  • Prime menawarkan lampu LED, rim lebih besar, upholsteri kulit sintetik dan pendingin hawa automatik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan