Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Cuti Gantian Hari Thaipusam, Hari Wilayah Persekutuan 2026
Pertindihan sambutan Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada Ahad (1 Februari 2026) menimbulkan persoalan dalam kalangan pekerja sektor awam dan swasta mengenai kelayakan cuti gantian.
Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengeluarkan kenyataan berasingan bagi memperjelas hal terbabit.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 8 Januari 2026, penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya akan menikmati satu hari cuti kelepasan am gantian, iaitu pada Isnin (2 Februari 2026).
Menurut JPA, ketetapan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana Hari Kelepasan Am jatuh pada Hari Kelepasan Mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi Hari Kelepasan Am.
"Pegawai Perkhidmatan Awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai hanya akan menikmati tundaan Hari Kelepasan Am pada hari berikutnya iaitu 2 Februari 2026 (Isnin).
"Pegawai Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan Hari Kelepasan Am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2026 (Ahad) juga adalah pada 2 Februari 2026 (Isnin)," tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPA turut menegaskan bahawa penetapan cuti gantian akibat pertindihan hari kelepasan am yang diumumkan oleh JTKSM tidak terpakai kepada Pegawai Perkhidmatan Awam.

Menurut kenyataan JTKSM pula, cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta yang beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ia adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 dan cuti tersebut tidak boleh digantikan dengan cuti lain.
"Memandangkan Cuti Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, maka majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai rehat mingguan pekerja hendaklah memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Isnin).
"Selanjutnya, majikan yang memilih cuti perayaan Hari Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am yang dipilih sebagaimana subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Selasa) memandangkan terdapat pertindihan kedua-dua hari kelepasan am ini.
"Majikan juga boleh memberikan pekerja mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti dengan persetujuan pekerja sebagaimana seksyen 60D(1A),” jelas kenyataan itu.
Selain itu, JTKSM memaklumkan bahawa pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am adalah layak menerima kadar bayaran gaji cuti am sebagaimana ditetapkan dalam Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.
