Tidak semua orang bekerja hanya semata-mata kerana wang ringgit. Ada yang mencari makna kehidupan di sebalik pekerjaan yang dilakukan, selain mahu membantu mereka yang memerlukan.
Khususnya bagi pekerjaan yang dekat dengan masyarakat, kepuasan apabila dapat membantu golongan yang memerlukan kadangkala sukar digambarkan dengan kata-kata.
Servis pembersihan rumah Intan
Bagi memahami makna di sebalik pekerjaan tersebut, kita boleh menelusuri kisah Intan Baiduri Putri Iskandar Perwira, 36, dan suami, Muhammad Nawwar Nasaruddin, 30, yang menawarkan servis mencuci rumah.
Namun, rumah yang dibersihkan mereka bukanlah rumah biasa.
Ada antaranya dipenuhi dengan pelbagai barangan sehingga menyukarkan pemilik untuk menguruskan ruang kediaman mereka.


Antara pelanggan yang dibantunya ialah individu yang sukar membuang barangan yang sebenarnya tidak lagi diperlukan, keadaan yang sering dikaitkan dengan istilah hoarding.
Intan yang berasal dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor berkata, dia sememangnya suka membantu individu yang mungkin tidak mampu menguruskan keadaan rumah mereka sendiri.
“Kebanyakan daripada mereka tak tahu nak mula dari mana,” katanya kepada SK.

Bermula selepas perniagaan terjejas akibat PKP
Berkongsi mengenai permulaan servis pembersihan tersebut, Intan berkata dia pada asalnya berniaga tudung dan pakaian di pasar malam.
Bagaimanapun, perniagaannya tidak dapat diteruskan seperti biasa apabila pandemik Covid-19 melanda negara sehingga membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berdepan ujian tersebut, Intan tidak mengalah dan mula mencari jalan untuk menambah pendapatan.
“Saya mencari solusi untuk menambah pendapatan kerana ada komitmen yang perlu dibayar setiap minggu iaitu Pinjaman Amanah Ikhtiar.
“Jadi saya mencari pekerjaan yang boleh dimulakan tanpa mengeluarkan modal dan hanya menggunakan tenaga fizikal,” katanya.
Bukan Sekadar Cari Untung, 37 Tahun Ayam Bismi Kekal Pegang Prinsip Halalan Toyyiban
Berguru Dengan Tokoh Tersohor, Seni Ukiran Kayu Anak Besut Kini Bakal Jejak London
Pesan Arwah Ibu Jadi Azimat, Mak Jah Tetap Jual Nasi Murah Demi Orang Susah
Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama
Bina Kerjaya Di Afrika, Nora Kongsi Realiti Yang Ramai Salah Sangka
Sejak itu, Intan mula bertekad menawarkan khidmat pembersihan di sekitar Lembah Klang.
Malah, khidmatnya turut ditawarkan di seluruh Semenanjung.
Terkejut lihat keadaan rumah pertama
Menurut Intan, pengalaman membersihkan rumah pelanggan pertama sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.
“Untuk rumah pertama, saya terkejut melihat keadaan rumah itu dan kurang yakin dapat membersihkan rumah itu dalam masa sehari.
“Tapi saya cuba sebaik mungkin dan dapat menyiapkan kerja pembersihan di rumah tersebut dalam masa sehari,” ujarnya.
Daripada bermula sendiri, Intan kini mempunyai seramai sembilan pekerja sepenuh masa dan empat pekerja separuh masa.

Sepanjang melakukan pekerjaan tersebut, dia dan pasukannya turut berdepan dengan pelbagai keadaan rumah yang mencabar.
Menurutnya, ada rumah yang dipenuhi najis kucing, sampah sarap, plastik makanan dan lampin pakai buang.
Walaupun berdepan keadaan seperti itu, Intan berkata lama-kelamaan perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.
“Terpaksa menahan bermacam bau dalam masa yang lama. Ada juga yang muntah, tapi sekarang kami dah biasa, dah lali,” kongsinya.


Pernah pelanggan enggan bayar
Selain keadaan rumah yang mencabar, Intan dan pasukannya turut pernah berdepan dengan pelanggan yang enggan membayar selepas kerja pembersihan selesai dilakukan.
“Bila pasukan dah selesai buat kerja pembersihan, dari rumah yang kotor sehingga bersih, pelanggan tak nak bayar dengan alasan tidak puas hati dengan kerja pembersihan yang kami buat.
“Sedangkan rumah penuh sampah, najis kucing. Sampai ke hari ini kami tak boleh lupa,” katanya.
Dalam masa sama, Intan juga pernah berhadapan dengan pelanggan yang sukar untuk membuang barangan milik mereka.
Menurutnya, keadaan seperti itu memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati.
“Cara saya kendalikan situasi itu adalah dengan cara memujuk supaya proses untuk membuang itu berjaya dilakukan,” katanya.


Ada yang sakit, tinggal seorang diri
Namun, di sebalik keadaan sesebuah rumah yang dipenuhi barangan atau tidak terurus, Intan berkata ada kisah tersendiri yang dilalui oleh pemiliknya.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang mendapatkan khidmat mereka sebenarnya jatuh sakit dan tidak mempunyai tenaga untuk mengemas rumah.

“Ada yang tinggal seorang diri dan ada juga yang menghadapi tekanan hidup, contohnya suami mati mengejut atau berhutang,” katanya.
Di sebalik segala cabaran yang dilalui, Intan berkata dia berasa puas apabila dapat membantu pelanggan mendapatkan kembali rumah yang bersih dan selesa.



Menerusi pekerjaan itu juga, Intan berkata dia belajar untuk sentiasa bersyukur selain berazam membantu lebih ramai individu yang memerlukan.
Jangan cepat menghukum
Pada masa sama, Intan berharap masyarakat lebih memahami individu yang mempunyai masalah menyimpan terlalu banyak barangan dan sukar untuk membuangnya.
Menurutnya, individu seperti itu memerlukan sokongan daripada orang di sekeliling mereka dan bukannya kecaman.

“Mereka tidak sedar yang sebenarnya itu adalah satu penyakit, jadi kami sebagai perkhidmatan pembersihan mahukan sokongan yang kuat daripada orang ramai.
“Jika ada keluarga atau jiran mula ada masalah yang sama, bantulah, jangan menghukum dengan kata-kata,” ujarnya.
Masih banyak yang perlu ditempuhi, semoga Intan dan pasukannya dipermudahkan dalam setiap urusan.
