Pesan Arwah Ibu Jadi Azimat, Mak Jah Tetap Jual Nasi Murah Demi Orang Susah
Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini akan jadi lebih bermakna jika orang lain mendapat manfaat darinya. Sama juga apabila kita berbahagi rezeki, walaupun nilainya mungkin kecil di mata kita, namun ia memberikan seribu makna kepada orang yang menerimanya.
Apatah lagi kehidupan di dunia ini hanya sementara, selagi ada peluang dan ruang untuk berbakti dan berbuat baik kepada orang lain, lakukanlah. Mungkin tindakan itu tidak akan meraih pujian dari semua manusia, tetapi semoga penduduk langit menyenanginya, kerana itu yang sebaiknya.
Itulah yang dilakukan oleh seorang peniaga nasi, Siti Normala atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, 47. Terkenal dengan nasi RM3, Mak Jah menjadikan perniagaannya itu sebagai medium ibadah untuk membantu orang-orang yang memerlukan.
Lebih 15 tahun meniaga di Puchong Permai, Mak Jah juga menjual nasi dengan harga murah kerana amanat dari arwah ibunya, Siti Rohaya yang meninggal dunia pada Julai 2022 dan sebagai tanda menghargai pelanggannya.
“Bukan kerana RM3 itu murah, tetapi kerana banyak orang susah,” katanya kepada SK.
Menelusuri kisah permulaan perniagaannya, Mak Jah berkata dia meneruskan legasi arwah ibunya yang juga pernah berniaga di situ selama berdekad lamanya. Dikenali sebagai Nasi Lemak Opah, arwah ibunya tidak pernah menaikkan harga, memberi peluang kepada orang susah untuk mengisi perut dengan harga makanan yang mampu dibeli.
Jangan naikkan harga sebab ramai orang susah
Justeru, ia dijadikan sebagai suri teladan dan diterapkan oleh Mak Jah sehingga kini. Mak Jah juga berkongsi bahawa ibunya meninggalkan amanat istimewa kepadanya beberapa hari sebelum meninggal dunia. Ia masih tersemat di hati dan fikiran Mak Jah sehingga hari ini.
“10 hari sebelum arwah meninggal, mak ada cakap ‘Nor, mak tiada harta nak tinggalkan untuk Nor, mak hanya ada tapak ini untuk Nor teruskan kehidupan, jangan naikkan harga, jangan susahkan orang sebab banyak orang susah, kalau nak orang suka kita jangan buat apa yang orang tak suka’,” ujarnya ketika mengimbas kembali amanat arwah ibunya.
Arwah ibu Mak Jah, Siti Rohaya. Kredit Gambar: Mak JahWalaupun pilu dengan kehilangan ibu tercinta, Mak Jah tetap kuat melangkah meneruskan amanat itu sehingga ia memberikan manfaat kepada orang ramai.
Untuk pengetahuan, selain nasi RM3 yang dijual hanya pada hari Selasa, Mak Jah juga tetapkan nasi pada hari biasa dengan harga bajet RM5.
Harga tersebut sememangnya murah, membuatkan orang ramai tertanya-tanya mengenai keuntungan yang diperolehi Mak Jah.


Namun, Mak Jah berkata dia yakin dengan rezeki Allah SWT dan hanya bergantung harap kepadaNYA.
“Mak Jah berniaga dengan Allah SWT, Mak Jah tak risau untung dan rugi, serahkan semua kepada Allah SWT,” katanya.
Apabila niat dan tindakan kita baik, maka Alllah SWT juga akan menghadirkan orang-orang yang baik untuk kita. Mak Jah berkata selama berniaga, dia bersyukur kerana ditemukan dengan pembekal-pembekal yang baik hati walaupun tidak seagama dan sebangsa. Mereka memahami keadaannya.
Selain itu, Mak Jah juga terharu kerana ada para pelanggan yang tidak jemu menyokong dari zaman arwah ibunya lagi.
Malah, ramai dalam kalangan pelanggannya yang baik hati dan tulus tidak mengambil duit baki, meletakkan duit di bawah bekas lauk dan membayar dengan jumlah yang lebih.

Beri infak kepada pelajar sekolah
Pun begitu, Mak Jah tidak menggunakan duit tersebut untuk kepentingannya, sebaliknya ia dikumpul untuk amalan infak kepada anak-anak sekolah.
“Duit itu semua Mak Jah tak makan, Mak Jah ambil dan kumpulkan setiap Selasa untuk jadikan infak kepada anak-anak sekolah.
“Alhamdulillah anak-anak infak kami sudah ada 160 orang di mana 100 orang anak-anak mengaji dan 60 orang anak-anak sekolah,” katanya.
Kebiasaannya, dia akan menyediakan nasi putih dan ayam merah yang diagihkan pada setiap hari Selasa. Anak-anak sekolah dari Puchong Perdana kebiasaannya akan melalui bangunan belakang tempatnya berniaga, jadi itu merupakan peluang untuk memberi makan kepada mereka.


Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, sama ada ingin melebarkan perniagaannya dengan lebih jauh. Mak Jah berkata ada beberapa hamba Allah yang sangat baik hati ingin menawarkan kemudahan atau menaja membuka kedai, kenderaan dan pelbagai lagi bantuan yang lain. Tetapi dia terpaksa menolaknya.
“Dengan keadaan Mak Jah yang sudah berusia 43 tahun dan tak berapa sihat, Mak Jah lebih selesa berniaga di tapak yang sekarang kerana sinonim dengan penduduk-penduduk setempat serta mudah kepada Mak Jah, penduduk-penduduk dan anak sekolah infak untuk bertemu dekat situ.
“Mak Jah tiada akaun sokongan untuk melangkah lebih jauh, cukuplah ibadah Mak Jah untuk arwah keluarga Mak Jah dan kesihatan yang Allah bagi dan sokongan dari pelanggan yang tidak pernah putus,” katanya.
Dia juga berharap agar anak-anak dan cucunya nanti mengambil iktibar, teladan dan kebaikan yang ada padanya, seperti mana dia mengambil teladan daripada arwah ibunya.
“Segala kebaikan arwah mak, Mak Jah jadikan sebagai ibadah,” katanya lagi.
Operasi meniaga
Menjual setiap hari Isnin hingga Jumaat, orang ramai boleh membeli nasi Mak Jah bermula jam 5.00 petang hingga 8.30 malam.
Jika cuaca dan keadaan tempat meniaga dalam keadaan baik, gerai akan dibuka lebih awal iaitu pada pukul 4.30 petang.
Mak Jah akan mula memasak selepas Zohor dan dia dibantu oleh suami, Azhari Awaluddin, anaknya, Nursufiana dan pembantu, Rohaida.

Menurut Mak Jah, bagi nasi RM3, ia hanya dijual bermula dari pukul 5 petang hingga 7.30 malam pada hari Selasa sahaja. Pelanggan akan dapat nasi, lauk dan sambil dengan harga itu.
Terdapat 19 jenis lauk yang boleh dipilih dan terdiri daripada ayam, paru, daging dan ikan keli. Nasi pula terdiri daripada nasi lemak, nasi putih dan nasi minyak.
Selain itu, pembeli boleh mendapatkan nasi tambah percuma pada setiap hari.

Bukan sekadar berniaga, Mak Jah menunjukkan bahawa setiap dari kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dalam situasi apa pun, selagi mana kita tekad untuk melakukannya.
Ia boleh dilihat menerusi tindakannya, bukan sekadar kata-kata. Semoga Mak Jah dan orang-orang seperti Mak Jah sentiasa diberkati Allah SWT di dunia dan akhirat.

Bagi anda yang ingin merasai keenakan nasi berlauk Mak Jah, anda boleh ke gerainya di Jalan Puchong Permai 2, berhadapan dengan kedai Wang’s Frozen Foods.
Anda juga boleh WhatsApp Mak Jah di 011-69941254 atau berhubung di Facebook Nora Umi dan TikTok noraumi123_.