Bina Kerjaya Di Afrika, Nora Kongsi Realiti Yang Ramai Salah Sangka
Kadang kala kita tidak akan tahu potensi sebenar diri sendiri selagi tidak berdepan dengan cabaran dan onak duri. Lebih-lebih lagi ketika merantau di negara orang, banyak perkara tidak terjangka berlaku yang boleh menguji kekuatan diri.
Berada di negara asing dalam tempoh yang lama juga boleh mengubah persepsi tentang sesuatu perkara yang sebelum ini hanya dilihat di kaca televisyen, media sosial atau didengari dari mulut-mulut orang.
Itulah yang dialami oleh Nora Jane Wahab, 40, yang berpeluang untuk bekerja di Afrika pada 2021. Dihimpit dengan pandemik Covid-19, hari-hari yang dilaluinya selama tiga tahun di sana mengajar erti kehidupan yang tidak pernah disaksikan olehnya sebelum ini.
Berjauhan dari keluarga, dia juga terpaksa menerima hakikat pemergian insan tersayang ketika berada di sana.
Wanita kental yang berasal dari Kelantan itu bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas Malaysia, sebelum ditugaskan sebagai pengurus dan ketua jabatan dalam pelbagai syarikat di Malaysia, Uganda dan Ghana.
Pengalaman perlu dicari
Permulaan perjalanannya di sana bermula apabila dia mendapat tawaran dari kenalan di LinkedIn, yang sedang mencari pekerja berpengalaman untuk menguruskan beberapa peluang projek di negara Uganda.
“Saya mendapat tawaran tersebut semasa bulan Januari 2021 ketika Malaysia sedang mengalami kemuncak perintah berkurung akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada SK.
Walaupun dia pada awalnya ragu-ragu untuk menerima tawaran itu, namun Nora membuat keputusan untuk menerimanya dengan niat untuk mencari pengalaman.
“Pada awalnya saya sangat curiga dan was-was, ada sedikit rasa gementar kerana pertama kali akan keluar bekerja di tempat asing, tambahan pula di negara Afrika.
“Surat tawaran memerlukan saya bekerja di Kampala, Uganda. Saya akhirnya memilih kerana bagi saya, pengalaman perlu dicari untuk menjadikan diri kita lebih bernilai.
“Sebelum saya membuat keputusan saya juga telah menilai beberapa faktor termasuk keselamatan, tempat tinggal, dan juga kemudahan lain. Selain itu, ayah saya adalah orang yang sangat memberi galakan untuk saya keluar mencipta kerjaya unik di negara Afrika,” ujarnya.

Tidak kekok sesuaikan diri
Apabila tiba di Uganda, Nora berkata tidak sukar untuknya menyesuaikan diri di sana walaupun budaya berbeza.
Menurutnya, rata-rata masyarakat di sana boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan itu memudahkan urusannya.

“Pada awal tawaran kerja saya perlu berada di Uganda. Dalam beberapa bulan saya juga telah ditugaskan untuk ke Ghana dan South Sudan untuk seketika atas urusan bertemu klien dan mencari peluang bisnes yang baharu kepada syarikat.
“Dari segi penyesuaian, ia tidaklah sulit. Pertamanya tentang bahasa, menyesuaikan diri dengan kebanyakan orang tempatan hanya memerlukan kita fasih dan faham bahasa Inggeris.
“Di Uganda dan Ghana, juga South Sudan rata-rata dari mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Bahkan, Uganda dinobat negara di Timur Afika yang paling hebat penguasaan bahasa Inggeris.
“Dari segi makanan, saya rasa tidak ada masalah di Uganda kerana sembelihan dalam negara diwajibkan dibuat oleh orang Muslim sebagaimana digazet oleh kerajaan mereka. Walaupun Uganda adalah majoriti beragama Kristian.
“Apabila di Ghana pula, untuk mencari daging sembelihan halal, banyak pasar raya dimiliki oleh orang Turkey, Lubnan dan Libya yang bermigrasi di sini,” katanya.


Pernah ditegur kerana tinggi suara
Selain itu, bekerja dan bergaul dengan orang tempatan juga memerlukannya sedikit peka dan cakna dengan perkara yang boleh dan tidak boleh, terutamanya dalam perbualan harian.
“Dari segi budaya kerja, saya pernah ditegur di Uganda kerana meninggikan suara. Saya dipesan, “Nora, kamu tidak boleh tinggikan suara sekiranya ada lelaki di meja mesyuarat”.
“Semasa saya di Ghana, saya berada di pentas sebuah persidangan, saya teringat saya telah ditegur kerana menyilang kaki, bagi saya itu biasa di Malaysia. Rupanya, ia perkara yang tidak sopan.
“Banyak lagi perkara menarik yang juga mengajar saya untuk merendah diri dan meraikan kepelbagaian di tempat orang terutamanya Afrika,” katanya.
Ditanya mengenai liku-liku yang dilalui di sana, Nora berkata banyak yang dilaluinya, jika ditulis satu persatu tidak akan pernah habis.
Namun, yang paling membekas di hati adalah ketika dia dijangkiti COVID-19 di Uganda. Lebih mencemaskan, dia orang pertama yang terkena virus itu selepas hampir enam bulan hospital di situ tidak menerima pesakit Covid.
“Saya diberitahu doktor, saya adalah orang pertama yang dijangkiti selepas enam bulan tidak mencatatkan sebarang kes.
"Doktor juga sebenarnya keliru, sama ada saya terkena Malaria atau Covid.
“Sangat sulit berseorangan tanpa ditemani orang yang dikenali, sebaliknya doktor dan jururawat yang menjadi teman berbual," ujarnya.
Ketika ini, dunianya juga terasa seakan kelam apabila menerima khabar mengenai kematian ibu bapanya.
“Selepas empat hari pulih dari sakit Covid yang teruk, saya dikuarantin di sebuah hotel, selama dua minggu dan ujian Allah lebih mencabar bila saya mendapat khabar berita ibu dan ayah saya meninggal di Malaysia kerana covid.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan kerana semangat ayah sayalah, saya terus melangkah di negara Afrika mencari rezeki,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai keadaan Covid di sana, Nora berkata perintah berkurung di Uganda bukan sepanjang hari, sebaliknya hanya bermula selepas 7 malam.
Manakala, hanya separuh sahaja pengguna yang boleh dimuatkan dalam pengangkutan awam bagi mengelakkan risiko.
“Kerajaan juga menggalakkan rakyat untuk tidak ke hospital, sebaliknya pergi sendiri ke farmasi untuk mendapatkan ubat-ubat sekiranya ada simptom demam, batuk dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan tekanan kepada doktor yang memerlukan perhatian kepada pesakit-pesakit kronik lain selain Covid.
“Menariknya walaupun mereka tidak terlalu ketat semasa perintah berkurung, namun, kadar kematian mereka hanyalah 3,700 iaitu hanya 10% dari kadar kematian kes Covid di Malaysia,” katanya.
Pengalaman tak boleh dilupa
Nora juga berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupainya, antaranya ketika menyertai pasukan sukarelawan di negara Uganda dan juga pengalaman mewakili syarikat di negara Ghana untuk ke persidangan di Guyana.
“Berada di padang sukarelawan, bertemu dengan orang yang benar-benar tidak bernasib baik di negara mereka memberi keinsafan kepada saya.
“Kerana melihat bagaimana mereka yang susah kehidupannya, daif dan miskin terpaksa menghadap kehidupan membuatkan kita mendapat pengajaran baru dalam hidup, untuk sentiasa bersyukur.
“Teringat budak perempuan berkaki ayam dalam misi sukarelawan yang meminta saya berikan kasut yang saya pakai kepadanya.
“Semasa di hantar ke Guyana, iaitu sebuah negara di Amerika Selatan, saya agak berdebar kerana mewakili syarikat besar dari Ghana di persidangan tersebut. Ia membuatkan saya belajar untuk lebih yakin dalam melaksanakan tugasan korporat di peringkat global.
“Dengan jawatan sebagai “Business Development Manager”, saya harus mengendalikan debaran secara professional kerana bukan sahaja mewakili negara Ghana, bahkan saya juga mewakili rakyat Malaysia.
“Bila terfikir suasana sewaktu itu, ia mengingatkan kita peluang yang paling mendebarkan. Sebenarnya itulah yang memberi peluang untuk kita terus menjadi pelajar di arena kehidupan atau pekerjaan yang kita pilih,” kongsinya.


Momen membekas di hati
Dia juga berdepan momen menyentuh hati di sana dan yang paling diingatinya adalah apabila bertemu seorang gadis berusia 21 tahun ketika di Kampala, Uganda.
Gadis itu bercita-cita untuk melanjutkan pengajian tetapi pendapatannya tidak begitu besar.
“Sewaktu dia bercakap dengan saya, dia sedang bekerja disebagai pembantu rumah dengan gaji hanya UGX70,000 bersamaan RM90 duit Malaysia. Perkara ini benar-benar menyentuh perasaan hati saya kerana mana mungkin dengan gaji sekecil itu, dia mampu menyimpan untuk sambung belajar.
“Saya bertanya kenapa dia mahu sambung belajar, Dengan menyambung belajar, dia mampu mengubah keluarga dan masa depannya dan memberi inspirasi kepada budak-budak perempuan di kampungnya yang sangat jauh dari bandar Kampala, yang juga sebuah pekan daif.
“Saya tekad untuk bantu dia sambung belajar dan perkara yang paling menyentuh hati saya adalah apabila tamatnya dua tahun dia belajar, dia memaklumkan perkara yang lebih penting. “You helped me to escape from force marriage”. Kerana di kampungnya yang daif tidak membangun, cara ibu bapa ‘menyelamatkan’ anak-anak dari kemiskinan adalah melalui kahwin paksa,” katanya.


Tambahnya, ia merupakan momen-momen yang sangat menyentuh hati. Detik itu juga mengajarnya bahawa sekecil pertolongan kita kepada makhluk Allah sebenarnya boleh menjadi sebuah impak yang besar kepada mereka. Ia mendidiknya tentang niat berbakti.
Dalam pada itu, Nora juga terpaksa menanggung kerinduan terhadap anak-anaknya yang berada di Malaysia.
Kuat kerana anak-anak
Namun, ia menjadi penguat untuknya terus bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana telah ‘terbang’ ke negara orang sejauh itu.
“Apa yang membuatkan saya terus kuat adalah sebenarnya anak-anak saya. Sejauh ini saya telah tinggalkan anak-anak demi untuk mencari rezeki maka, alang-alang menyeluk pekasam biarlah ke pangkal lengan.
“Dengan kesabaran itu, ia telah membawa saya dari Uganda ke Ghana dengan rezeki dan pangkat yang lebih baik. Saya belajar, dengan niat yang betul dan dengan kesungguhan tanpa putus asa, InshaAllah kita akan diberi jalan yang baik,” katanya.
Pengalaman di sana juga mengubah dirinya untuk melihat kehidupan dengan cara yang berbeza.

Ramai salah sangka
Ujarnya, ramai yang menyangka negara Afrika hanya dipenuhi dengan kemunduran, kebuluran dan kemiskinan. Walhal realitinya berbeza.
“Ada yang bertanya sekiranya saya tinggal di dalam rumah lumpur di negara sana. Tidak. Saya tinggal di apartmen 4 bintang, di bandar yang cukup segala keperluan dan dikelilingi sahabat yang baik-baik di kalangan orang tempatan.
“Afrika ada 54 negara dan kita perlu tahu yang mana yang bergolak, yang mana selamat. Ghana dan Uganda atara dua negara Afrika yang cukup selamat dan Ghana sendiri, memiliki ramai anak-anak muda yang berpendidikan tinggi.
“Di Uganda, terlalu banyak buah-buahan tempatan di sekeliling negara dan avocado yang ditanam secara mewah sebesar tapak tangan hanyalah RM0.50 dan ini membuka minda bahawa tidak semua negara Afrika adalah tentang kemiskinan,” katanya lagi.
Pengalaman-pengalaman ini menguatkan hatinya untuk kembali lagi ke negara itu. Menurutnya, dia akan bertugas semula di Ghana pada bulan Jun nanti.
“Kembali ke Ghana dengan jemputan dari CEO syarikat ternama di Ghana dalam bidang minyak dan gas, di mana syarikat yang sama saya bekerja pada 2022 hingga 2023, bukan untuk berbangga tetapi untuk memberi inspirasi bahawa sekiranya kita seorang yang gigih bekerja, jujur dalam urusan kerja kita, kita akan diterima dan dirai sepanjang masa.
“Sebagai pekerja berpengalaman 17 tahun, saya banyak memberi mentoring dan coaching kepada pasukan kerja yang lebih muda dari saya semasa saya di Uganda dan Ghana. Berbakti di negara Afrika, membawa nama Malaysia, adalah cabaran yang besar sebenarnya sebagai individu dan sebagai seorang wanita,” jelasnya.

Nora juga menitipkan pesan buat orang ramai khususnya yang ingin meneroka peluang baharu di negara luar.
Ujarnya, setiap orang perlu sentiasa bekerja keras dalam urusan kerja kerana melalui sikap itu, kita akan sentiasa bersedia dengan segala peluang yang datang kepada kita.
“Sentiasa jujur dalam urusan kerja kita kerana di situ kita dinilai oleh Allah sama ada kita layak atau tidak untuk meneroka peluang baharu di luar negara.
“Sentiasa bergaul dengan orang-orang berpengalaman, mencari maklumat-maklumat yang diyakini, yang boleh membimbing kita membuat keputusan betul dan selamat kerana tidak semua peluang di luar negara memberi nasib yang baik,” katanya.
Bagi anda yang ingin menyelami lebih lanjut mengenai kisah perjalanan Nora di Afrika, anda boleh membacanya dalam buku travelog di www.norajane270hari.com.