Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

9 Mitos Tentang IPTS, Ramai Masih Salah Faham
Seiring dengan landskap pasaran kerja yang semakin mencabar, ramai lepasan sekolah yang mempertimbangkan untuk menyambung pengajian di menara gading.
Namun, apabila pilihan itu melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), muncul suara-suara orang sekeliling yang meragui keputusan tersebut. Ada yang berkata bahawa belajar di IPTS tidak berbaloi, membazir duit dan sukar untuk mendapat kerja.
Tahun telah berubah, tetapi nampaknya pemikiran yang salah mengenai IPTS ini masih lagi kekal dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Susulan itu, artikel kali ini akan membongkar mitos atau salah faham mengenai IPTS dan memurnikannya dengan fakta yang betul.
IPTS lebih mahal
Bila sebut mengenai IPTS, ramai yang terus mengaitkannya dengan yuran atau kos pengajian yang sangat mahal. Berbeza dengan IPTA yang menerima subsidi kerajaan, yuran IPTS sering dianggap berlipat kali ganda lebih tinggi.
Malah, ada juga yang beranggapan IPTS hanya sesuai untuk pelajar daripada keluarga berada.
Hakikatnya, kos pengajian di IPTS sebenarnya lebih kurang sama seperti IPTA. Tetapi seperti yang telah dinyatakan, kerajaan memberi subsidi yuran pengajian kepada IPTA bagi membantu pelajar, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ada IPTS yang menawarkan harga yang lebih rendah bagi program diploma seperti untuk kursus berkaitan kulinari. Dalam pengkhususan Patiseri dan Gastronomi, kos yang ditawarkan ialah sekitar RM37,000.
Semuanya berbalik kepada program dan kursus yang diinginkan.
Pilihan kedua untuk pelajar yang tak pandai
Ada juga persepsi yang mengatakan bahawa IPTS hanya untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Ramai beranggapan hanya pelajar tidak pandai akan memilih IPTS berbanding IPTA.
Situasi ini dapat dilihat selepas keputusan UPU diumumkan kerana kebanyakan pelajar yang gagal dalam permohonan itu akan cenderung memilih IPTS untuk melanjutkan pengajian.
Faktanya, kebanyakan IPTS menetapkan syarat kemasukan yang setanding atau hampir sama dengan IPTA. Ia terutamanya untuk kursus popular seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan dan undang-undang.
Justeru, pelajar juga perlu mempunyai keputusan yang cemerlang untuk memohon program-program tersebut.
Dalam masa yang sama, ramai pelajar dari IPTS telah menerima anugerah dan pengiktirafan bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa juga.
Sebagai contoh, pelajar dari IPAC Education Shah Alam, Ahmad Fauzee M Hassan pernah mendapat skor sebanyak 96 peratus dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 2018.
Ahmad Fauzee berjaya meraih markah tertinggi di dunia dan cemerlang keseluruhan bagi Subjek Financial Reporting.
Ini membuktikan bahawa pelajar swasta mempunyai kredibiliti mereka yang tersendiri, sama seperti pelajar IPTA.
Susah dapat bantuan belajar
Timbul tanggapan bahawa pelajar IPTS sukar untuk mendapatkan sebarang biasiswa atau bantuan kewangan lain. Hal ini menyebabkan sesetengah orang melihat kos pengajian di IPTS sebagai beban yang besar.
Namun, perlu ditegaskan bahawa banyak biasiswa dan bantuan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar IPTS. Selain biasiswa daripada IPTS itu sendiri, pelajar juga boleh memohon biasiswa daripada organisasi korporat dan yayasan negeri.
Antara yang boleh dimohon ialah Biasiswa Kijang Bank Negara Malaysia, Biasiswa Shell, Biasiswa Yayasan Sime Darby, Bantuan Pendidikan MARA dan Yayasan Telekom Malaysia.
Untuk mendapatkan biasiswa ini, pelajar perlu memenuhi syarat kelayakan akademik dan ko-kurikulum.
Selain itu, tidak dilupakan juga pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pensyarah IPTS kurang berkelayakan
Salah satu aspek penting yang sentiasa dinilai berkaitan kecemerlangan sesebuah universiti adalah kualiti tenaga pensyarah. Bagi IPTS, ramai yang memandang serong kerana ada sesetengah universiti yang tidak menetapkan standard kelayakan seperti di IPTA.
Bahkan, ada yang menganggap ramai pensyarah IPTS tidak mempunyai Ijazah Sarjana (Masters).
Kebanyakan dari mereka juga mempunyai PHD dan ada sesetengah IPTS yang mengambil pensyarah daripada industri atau pakar profesional. Ia sekaligus menyaksikan pengalaman praktikal mereka yang kadang-kadang lebih luas daripada yang di IPTA.
Kualiti pendidikan lagi rendah dari IPTA
Sesetengah orang mempunyai persepsi negatif mengenai kualiti pendidikan di IPTS yang dirasakan lebih rendah daripada IPTA.
Bagaimanapun, hakikatnya kebanyakan program pengajian di IPTS telah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan didaftarkan dalam Malaysian Qualifications Register (MQR).
Menurut MQA sendiri, semua kelayakan yang didaftarkan dengannya adalah tertakluk kepada pemantauan yang dijalankan dari semasa ke semasa. Langkah itu bagi memastikan program tersebut memenuhi standard dan kriteria yang ditetapkan.
Malah, sesebuah IPTS itu sendiri mempunyai pelbagai program dan sijil yang bukan sekadar teori semata-mata, tetapi turut menekankan kemandirian dalam dunia kerjaya sebenar.
Universiti swasta juga banyak melahirkan individu hebat dalam pelbagai kerjaya. Misalnya, pengasas Monsta Studios Sdn Bhd yang merupakan alumni dalam bidang Filem dan Animasi di Universiti Multimedia (MMU).
Sementara itu, perlu juga ditekankan bahawa ada beberapa universiti swasta yang berjaya tersenarai dalam universiti terbaik di peringkat negara dan antarabangsa. Bahkan, Taylor's University dan UCSI University tersenarai bersama IPTA lain dalam QS World University Rankings 2026.
Kesemua universiti itu dinilai berdasarkan pelbagai aspek khususnya kualiti program yang ditawarkan.
Dalam pada itu, ramai yang beranggapan IPTS hanya mengejar untung semata-mata kerana ia merupakan entiti perniagaan dan mengabaikan kualiti.
Pemikiran sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana kualiti itu sendiri aset kepada sesebuah perniagaan. IPTS sememangnya perlu menjana pendapatan bagi memastikan kelangsungan operasi.
Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa kebanyakan IPTS berlumba-lumba menyediakan pelbagai kemudahan terbaik kepada pelajarnya.
Secara ringkasnya, keuntungan dan kualiti bukan dua perkara yang saling bercanggah. Bagi IPTS, kualiti pendidikan merupakan asas utama untuk kekal relevan dan berdaya saing.
Susah dapat kerja
Ramai yang tidak tahu bahawa IPTS mempunyai peranan penting dalam membekalkan tenaga kerja mahir kepada industri melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.
Dalam masa yang sama, IPTS turut membantu menampung keperluan pasaran pekerjaan khususnya dalam bidang utama seperti automotif, kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan.
Sebagai contoh, DRB-HICOM yang merupakan kumpulan konglomerat terkemuka di Malaysia dengan perniagaan pelbagai sektor, terutamanya automotif, perkhidmatan, perbankan dan lain-lain.
Antara jenama terkenal di bawah mereka ialah Proton Holding Berhad, Modenas Malaysia, Audi Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia, Honda Malaysia, Bank Muamalat dan banyak lagi. Bagi memastikan mereka sentiasa mendapat bekalan tenaga kerja mahir, maka terwujud DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) yang menyediakan program berkualiti yang bertepatan dengan kehendak pasaran.
Justeru, peranan IPTS sebagai pembekal tenaga kerja mahir semakin relevan dengan keperluan industri masa kini.
Kebanyakan syarikat juga tidak hanya memandang graduan dari IPTA sahaja. Aspek kemahiran, komunikasi, portfolio dan pengalaman industri menjadi penguat kepada peluang kerjaya yang lebih meluas.
Dalam pada itu, ada juga pelajar yang membina syarikat atau perniagaan sendiri berdasarkan pengalaman mereka ketika menuntut ilmu di IPTS. Buktinya dapat dilihat daripada kisah alumni UTP, Muhammad Fathy Rashad. Dia yang dikenali sebagai pelajar termuda UTP telah menjadi pengasas syarikat kecerdasan buatan (AI).
Ini memperlihatkan bahawa laluan kerjaya bagi pelajar IPTS terbuka luas selagi ada kelayakan dan kemahiran yang diperlukan dalam industri.
Kurang penekanan kepada penyelidikan
Pastinya ramai yang menganggap IPTS kurang memberi penekanan kepada aspek penyelidikan. Seperti yang diketahui kebanyakan IPTS di Malaysia berperanan sebagai institusi berteras pengajaran dan industri, dengan penekanan kepada latihan praktikal serta kerjasama bersama sektor swasta.
Pendekatan tersebut berbeza dengan universiti awam yang lebih tertumpu kepada penyelidikan asas.
Walaupun tanggapan itu ada kebenarannya, namun beberapa IPTS di Malaysia sebenarnya berfungsi sebagai universiti penyelidikan atau menjalankan penyelidikan gunaan secara aktif, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains kesihatan dan teknologi industri.
Antaranya pusat penyelidikan di UTP, Sunway University, Monash University Malaysia, MSU dan Taylor’s University.
Sindiket buat hal, IPTS yang kena
Mitos ini mungkin paling banyak didengari berkaitan IPTS walaupun ia sebenarnya tidak tepat.
IPTS tertakluk kepada pemantauan dan kawal selia yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). Ia juga selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu.
Justeru, pihak IPTS atau individu yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Kebanyakan kes penjualan sijil palsu ini sebenarnya dilakukan oleh sindiket yang ingin mendapatkan keuntungan mudah.
Pada 2024, KPT juga telah membuat laporan polis berhubung sindiket penjualan sijil palsu dalam talian. Pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama universiti tempatan tanpa kebenaran.
IPTS yang beroperasi secara sah dan diaudit oleh MQA tidak akan melakukan kesalahan tersebut kerana risiko besar menanti mereka.
Ijazah IPTS tak diiktiraf kerajaan
Mitos ini wujud mungkin kerana beberapa salah faham termasuk tanggapan bahawa ijazah IPTS tidak boleh kerja kerajaan dan graduan tidak boleh sambung belajar.
Bagi menangkis mitos ini, kita perlu berbalik kepada akreditasi MQA yang telah dinyatakan di atas. Orang ramai tidak perlu risau selagi program atau kursus yang dipilih mendapat akreditasi tersebut.
Peluang kerjaya di sektor kerajaan pula sentiasa terbuka luas selagi graduan menepati syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Tuntasnya, kebanyakan mitos tentang IPTS ini menunjukkan bahawa tanggapan orang ramai sering berasaskan salah faham. Perlu ditegaskan bahawa IPTS yang berdaftar dan diakreditasi MQA menawarkan pendidikan yang berkualiti, peluang bantuan kewangan, pensyarah berkelayakan dan peluang kerjaya yang setara dengan IPTA.