UTP, UM Tersenarai Universiti Terbaik Negara Dalam Times Higher Education University Ranking 2026
Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaya (UM) kini mendahului senarai universiti terbaik di Malaysia dalam Times Higher Education University Ranking 2026 (Times).
Menerusi senarai yang dikeluarkan, UTP dan UM berkongsi kedudukan di tangga 201-250.
Selain kedua universiti ini, Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berkongsi kedudukan di tangga 301-350 senarai tersebut.
Di tangga 401-500, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mendahului Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berada di tangga 501-600.
Sementara itu, empat universiti berkongsi kedudukan di tangga 601-800 iaitu Management and Science University (MSU), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Bidang STEM universiti seluruh Asia meningkat
Menurut Times, universiti di seluruh Asia menunjukkan peningkatan dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berdasarkan senarai yang dikeluarkan.
Malah, peningkatan dalam bidang lain seperti kesenian juga kini lebih pantas berbanding institusi di Eropah dan Amerika Utara.
“Dalam bidang sains hayat, terdapat tiga universiti Asia di kedudukan 20 terbaik buat kali pertama apabila National University of Singapore naik ke tangga 19.
“Antara universiti Asia, 17 peratus meningkat dalam senarai kedudukan bagi sains hayat, 16 peratus bagi sains fizikal dan 19 peratus bagi sains komputer.
“Walau bagaimanapun, data 2026 menunjukkan institusi Asia meningkat lebih pantas dalam bidang lain, malah lebih cepat berbanding institusi di Amerika Utara dan Eropah,” maklum pihak Times.
Dalam pada itu, hampir separuh daripada institusi di Asia menunjukkan penambahbaikan dalam kedudukan kategori undang-undang iaitu sebanyak 47 peratus. Bagi bidang pendidikan pula, sebanyak 32 peratus dicatatkan serta 29 peratus bagi bidang seni dan kemanusiaan.
Begitu juga bidang perniagaan dan ekonomi yang mencatatkan sebanyak 26 peratus institusi di Asia. Buat pertama kali dalam sejarah, tiga universiti Asia berjaya berada di kedudukan 10 teratas dalam bidang ini.