Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dakwa Langgar Hak Harta Intelek, Twitter Ancam Saman Meta Kerana Threads

Syed Faisal Sayed Muhammad
Twitter ancam saman meta
Kredit The Guardian

Dakwa Langgar Hak Harta Intelek, Twitter Ancam Saman Meta Kerana Threads

Twitter dilaporkan telah mengancam untuk menyaman Meta berkenaan aplikasi Threads.

Memetik The Guardian, Twitter mendakwa bahawa aplikasi baharu yang dilancarkan oleh Mark Zuckerberg itu telah melanggar “hak harta intelek” Twitter.

Menurut satu surat yang ditujukan kepada Mark Zuckerberg oleh peguam Twitter, Meta didakwa terlibat dalam penyelewengan sistematik.

“Syarikat itu mempunyai kebimbangan serius bahawa Meta Platform telah terlibat dalam penyelewengan sistermatik. Mereka juga didakwa telah menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain.

“Twitter berhasrat untuk menguatkuasakan hak harta inteleknya dengan tegas. Serta menuntut Meta mengambil langkah segera untuk berhenti menggunakan sebarang rahsia perdagangan Twitter atau maklumat sulit lain,” tulis Alex Spiro dalam surat berkenaan.

Semalam, Meta telah melancarkan Threads, sebuah aplikasi perbualan berdasarkan teks yang bertujuan untuk menyaingi Twitter. Pelancaran tersebut juga telah mendapat sambutan yang positif daripada pengguna di seluruh dunia.

Lebih 30 juta mendaftar Threads dalam masa kurang 24 jam

Syarikat itu berkata, sehingga kini Threads telah memperoleh lebih 30 juta pendaftaran akaun dalam masa kurang daripada 24 jam selepas ia dilancarkan.

Jumlah itu menjadikan aplikasi tersebut sebagai aplikasi paling pantas dimuat turun yang pernah dicatatkan.

Akaun Threads pengguna dipautkan ke profil Instagram, menjadikan proses untuk mendaftar lancar antara aplikasi.

Zuckerberg berkata Threads ialah percubaan Meta untuk membina aplikasi perbualan awam dengan satu bilion pengguna.

“Ini adalah permulaan yang baik seperti yang kami harapkan!” tulis Zuckerberg berdasarkan muat naik Threads nya semalam.

Dalam pada itu, Twitter juga mendakwa bahawa Meta telah mengambil berpuluh-puluh bekas pekerjanya yang terdahulu dalam merealisasikan pelancaran aplikasi tersebut.

Menurut Twitter lagi, sebahagian daripada bekas pekerjanya itu mempunyai akses terus kepada rahsia dagangan Twitter dan maklumat sulit lain. Mereka juga didakwa memiliki dokumen penting Twitter atau peranti elektronik secara tidak sah.

“Dengan pengetahuan itu, Meta sengaja menugaskan pekerja ini untuk membangunkan aplikasi peniru Threads dalam masa beberapa bulan. Mereka menggunakan rahsia dagangan Twitter dan harta intelek lain untuk mempercepatkan pembangunan aplikasi pesaing Meta.

“Mereka melanggar dua undang-undang negeri dan persekutuan serta kewajipan berterusan pekerja tersebut terhadap Twitter,” tulis surat itu lagi.

Sementara itu, Elon Musk sempat membuat ciapan di akaun Twitter rasmi miliknya pada semalam.

“Persaingan baik, menipu tidak baik,” tulis Musk di Twitter miliknya semalam.

BACA: Pernah Kena “Ignore” Dengan Operator, CEO Klook Kongsi Kisah Tercetusnya Idea Penubuhan Aplikasi Klook

Sebagai tindak balas kepada surat itu, pengarah komunikasi Meta, Andy Stone telah menyiarkan di Threads bahawa tiada jurutera pembangunan aplikasi tersebut merupakan bekas pekerja Twitter.

Tidak jelas apakah bukti Twitter untuk mendakwa bekas pekerja yang kini bekerja di Meta terus mempunyai akses kepada harta intelek atau rahsia perdagangan Twitter.

Twitter juga berkata Meta dilarang daripada mengikis data daripada mana-mana perkhidmatan Twitter.

Pemilik Twitter, Elon Musk baru-baru ini telah membuat beberapa langkah untuk menyekat sebarang usaha mengikis data Twitter. Ia termasuk mengehadkan bilangan tweet yang boleh dilihat oleh pengguna dalam sehari.

Musk berkata, ia sebagai tindak balas kepada syarikat yang menggunakan Twitter untuk melatih model AI mereka.

Sumber: The Guardian