Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dalam satu sidang media yang diadakan pada Selasa, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memaklumkan keputusan itu dibuat ekoran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah meluluskan rang undang-undang ADUN lantikan sebentar tadi.
Menurutnya, pendirian DAP adalah jelas iaitu menolak usul tersebut.
"Mengikut prinsip demokrasi dewan, maka kita akan keluar daripada kerajaan negeri Melaka," katanya.
Khoo juga berkata wakil Pakatan Harapan turut menolak rang undang-undang tersebut termasuk Alex selaku Exco kerajaan negeri.
"ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya. Keputusannya harus diserahkan kepada pengundi, bukannya melalui ADUN lantikan.
"Sekiranya kerajaan negeri ingin mendapatkan khidmat daripada profesional atau pakar, mereka boleh lantik sebagai penasihat, bukannya ADUN lantikan.
"Sebab bila lantik jadi ADUN lantikan, mereka boleh masuk ke DUN dan boleh membuang undi. Ini bercanggah prinsip pilihan raya kita," katanya.
Khoo juga menjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh DAP Melaka ini dilihat sebagai langkah yang adil kerana mereka telah menolak usul pindaan perlembagaan yang penting bagi negeri itu.
"Sepatutnya kita perlu sokong sebab dia pindaan perlembagaan, satu usul yang penting.
"Tetapi, apabila kita ambil pendirian menolak pindaan tersebut maka kita tidak harus berada dalam kerajaan negeri sebab itu tidak adil," katanya.
Menurutnya, empat ADUN akan meletak jawatan dalam kerajaan negeri dalam masa terdekat melibatkan Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker.
"Letak jawatan kerajaan negeri, bukan letak sebagai ADUN. Mereka masih lagi ADUN, cuma mereka letak jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker," katanya lagi.