Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dapatan Kajian Indeks Perpaduan Nasional 2025: Melepasi Paras Sederhana Tinggi Dan Mencapai Sasaran RMK-12

indeks perpaduan nasional
Kredit: Bernama

Dapatan Kajian Indeks Perpaduan Nasional 2025: Melepasi Paras Sederhana Tinggi Dan Mencapai Sasaran RMK-12

Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) merupakan satu-satunya indeks rasmi yang digunapakai oleh Kerajaan Malaysia bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian rakyat secara menyeluruh.

IPNas berperanan sebagai instrumen strategik dalam menilai kedudukan semasa perpaduan nasional serta menjadi panduan dalam penggubalan dasar dan intervensi kerajaan.

Kajian IPNas dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Pakarunding Universiti Kebangsaan Malaysia.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyatakan bagi tahun 2025, Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) mencatatkan skor 0.701, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran RMK-12, menunjukkan perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh dengan semangat kebangsaaan dan keyakinan terhadap tadbir urus negara yang lebih mantap.

Trend sejak 2018 memperlihatkan peningkatan konsisten daripada 0.567 ke 0.629 (tahun 2022) dan akhirnya 0.701 (tahun 2025), menggambarkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional.

Selain itu, dalam IPNas 2025 turut dilaksanakan adalah analisis perbandingan tahap perpaduan mengikut wilayah, iaitu Semenanjung Malaysia (Utara, Tengah, Timur, Selatan), Sabah dan Labuan serta Sarawak.

Dapatan mengikut wilayah menunjukkan bahawa Sarawak mencatat tahap perpaduan tertinggi dengan skor indeks 0.791, mencerminkan kekuatan nilai komuniti dan toleransi antara etnik.

Wilayah Timur merekodkan skor kedua tertinggi iaitu 0.741 didorong oleh nilai komuniti dan keharmonian sosial yang tinggi.

Sabah dan Labuan mencatatkan skor 0.726, hasil daripada kekuatan nilai komuniti antara etnik.

Wilayah Selatan pula merekodkan skor 0.719, berikutan hubungan sosial rentas etnik yang aktif dan dinamik.

Wilayah Tengah dan Wilayah Utara masing-masing mencatat skor 0.670 dan 0.650 yang berdepan cabaran struktur sosioekonomi dan urbanisasi namun berpotensi untuk terus diperkukuh.

Bagi data IPNas 2025 secara berasingan mengikut negeri, tiga negeri telah mencatat skor tertinggi yang boleh dijadikan teladan bagi keharmonian masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama di Malaysia.

Negeri Pahang merekodkan skor 0.817, menunjukkan perpaduan paling kukuh di negara ini, diikuti Melaka dengan skor 0.816 yang menandakan tahap perpaduan yang tinggi, manakala Sarawak pula mencatat skor 0.791, menggambarkan perpaduan yang kukuh dan konsisten di kalangan rakyatnya.

Faktor utama yang mempengaruhi perpaduan negara menurut IPNas 2025 adalah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) dengan sumbangan 69.7%, merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa, sumber oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dalam kajian ini, TUP diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam (6) komponen utama iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat, yang mencerminkan tahap keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.

Seterusnya, Etos Nasional (EN) menyumbang 46.7%, menggambarkan semangat cinta akan negara dan rasa kekitaan; Tahap Keetnikan (TK) sebanyak 34.7%, mencerminkan kekuatan identiti etnik dalam masyarakat yang pelbagai; manakala Hubungan Sosial Rentas Etnik (HSRE) menyumbang 31.4%, menekankan keakraban dan kepercayaan antara etnik.

Kesemua faktor ini bersama-sama memperkukuh tahap perpaduan dan keharmonian negara.

Secara keseluruhan, dapatan IPNas 2025 mencerminkan bahawa perpaduan nasional berada pada landasan yang positif dan semakin mengukuh.

Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha memperkukuh integrasi nasional melalui pendekatan inklusif, berasaskan data dan intervensi berfokus bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.