Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kajian terkini menunjukkan negeri yang rakyatnya paling bersatu padu di Malaysia mencatatkan skor perpaduan melebihi purata nasional yang ditetapkan kerajaan.
Malaysia sememangnya dikenali sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.
Sejak kecil, kebanyakan rakyat dibesarkan dalam persekitaran komuniti yang dihuni masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik lain.
Walaupun terdapat kaum yang menjadi majoriti di sesuatu kawasan, semangat perpaduan tetap dapat dilihat dengan jelas.
Situasi ini lebih terserlah apabila tiba musim perayaan, apabila masyarakat saling mengunjungi dan meraikan perbezaan bersama.
Dalam era media sosial hari ini, semakin banyak perkongsian yang memaparkan keharmonian antara kaum.
Perpaduan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya menjadi norma dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Namun, tahukah anda bahawa tahap perpaduan ini sebenarnya diukur secara rasmi?
Kementerian Perpaduan Negara telah menjalankan satu kajian bagi menilai tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kajian tersebut bertujuan melihat sejauh mana hubungan antara kaum berada pada tahap yang kukuh dan stabil.
Lebih menarik, dapatan kajian yang dijalankan pada tahun 2025 menunjukkan peningkatan yang positif.
Data tersebut merekodkan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat berbanding sebelumnya.
Malah, tiga negeri teratas mencatatkan skor melebihi purata nasional iaitu pada paras 0.701.
Sebagai perbandingan, angka berkenaan telah melepasi sasaran nasional yang ditetapkan pada 0.7.
Data ini menunjukkan tahap perpaduan rakyat Malaysia berada pada landasan yang baik berdasarkan ukuran ini.
Kajian ini turut mendapati faktor keluarga merupakan pengikat tali perpaduan paling kukuh dengan adanya perkahwinan campur etnik.
Walau bagaimanapun, kajian ini turut mendapati terdapat 10 kategori yang dapat menggugat kestabilan perpaduan dalam negara.
Antara yang mendapat undian paling tinggi merupakan etnisiti dan agama. Dua kategori ini menjadi penentu utama yang mempengaruhi kesepaduan sosial.
Satu perkara yang mengejutkan apabila kategori media meningkat naik kepada kedudukan kedua berbanding kajian terdahulu.
Ancaman yang dikenal pasti termasuk penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan manipulasi sentimen perkauman.
Berikut SK kongsikan senarai lapan negeri dengan rakyatnya mempunyai semangat bersatu padu yang tinggi, melepasi purata nasional.
Senarai ini menunjukkan susunan antara negeri paling bersatu padu sahaja.
Pahang dengan skor tertinggi 0.817
Melaka dengan skor kedua tertinggi 0.816
Sarawak dengan skor 0.791
Terengganu dengan skor 0.745
Negeri Sembilan dengan skor 0.731
Sabah dengan skor 0.722
Perlis dengan skor 0.720
Labuan dengan skor 0.719
Negeri yang mempunyai skor paling rendah merupakan Kedah dengan skor hanya 0.593.