Bagi anda yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan, selamat maju jaya dan jangan mudah berputus asa.
Percayalah, usaha dan kegigihan yang dilakukan oleh anda bakal membuahkan hasil tidak lama lagi.
Walaupun seringkali boleh tertewas dengan nafsu makan, tetapi ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk anda terus berusaha.
Pun begitu, anda juga perlu berniat untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat, bukan turunkan berat badan untuk kelihatan cantik atau kacak semata-mata.
Mungkin anda boleh terinspirasi dari kisah Muhammad Nazri ini yang telah berjaya menurunkan berat badan dari 163 kg ke 92 kg.
Berkongsi kejayaannya menurunkan berat badan di Group Facebook Diet Suku Suku Separuh, dia berharap agar boleh memberi inspirasi kepada orang ramai yang sedang berusaha untuk diet.
Sekali sekala up gambar lama untuk inspire orang yang nak kurus.
Hasil usaha diet dengan workout, tanpa supplement dan ubat ubatan.
Tinggi saya 191CM

Dihubungi SK, pemuda berusia 26 tahun itu berkata bahawa sebelum ini dia sudah beberapa kali cuba untuk kurus tetapi tak berjaya dan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja.
Menurutnya, dia tidak mengamalkan sebarang supplement dan banyak melakukan kajian mengenai pemakanan dan diet-diet yang sesuai.
“Ajar diri sendiri mengenai kalori dan gula. Saya juga amalkan calories deficit dan intermittent fasting,” katanya.
Mula serius diet pada awal tahun 2020, dia juga menyukat kalori harian yang diambil olehnya.
“Untuk lelaki kita kena ambil 2000 calories sehari, bagi perempuan 1600 calories. Kalau kurang daripada jumlah yang kita patut ambil tu, berat akan turun,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga tidak minum minuman manis sepanjang setahun.
Dia juga melakukan senaman dengan berjogging dalam 3 km hingga 7 km sehari. Dalam sebulan, dia akan ‘cuti’ dari jogging selama dua hari sahaja.
“Selalu dapat soalan macam ni, “sakit lutut tak lari sebab gemuk?”. Jawapannya tidak, saya gunakan teknik slow jogging pada awalnya, boleh type Dr Tanaka slow jogging dekat Youtube dan belajar. Very helpful untuk beginner! Push up, sit up dan squat, badminton, hiking serta skipping adalah side exercise yang saya buat selain dari jogging,” katanya.
Tidak cuma itu, Nazri juga berkata bahawa dia mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi selepas menurunkan berat badan.
“Sepanjang perjalanan nak kurus tu, saya pegang satu kata-kata ni, “the sky’s the limit”. Kalau saya boleh lakukan benda yang orang anggap mustahil iaitu hilangkan 71KG, apa lagi alasan anda?,” katanya.
Sumber: Muhammad Nazri