Seorang lelaki tidak menyangka persahabatan yang terjalin sejak sekian lama akhirnya menjadi penyelamat nyawanya apabila sahabat baik tampil menderma sebelah buah pinggang untuk membantunya meneruskan kehidupan.
Carl Dunderdale dari Brigg, United Kingdom (UK) disahkan menghidap penyakit Berger, iaitu masalah buah pinggang kronik yang menyebabkan fungsi buah pinggangnya semakin merosot.
Namun, sahabatnya, Andrew Hensby atau lebih dikenali sebagai Rewy, tampil menawarkan diri untuk menjalani ujian sebagai penderma dan mendapati mereka sepadan.
Pemindahan buah pinggang itu dilakukan di St James' Hospital, Leeds pada Ogos 2024.
“Setiap hari saya bersyukur. Kehidupan saya hanya sebaik buah pinggangnya dan kemurahan hati luar biasa yang diberikan kepada saya,” kata Dunderdale.
Tak sangka menghidap penyakit buah pinggang
Dunderdale mengetahui dirinya menghidap penyakit Berger selepas menjalani pemeriksaan kesihatan rutin ketika berusia 40 tahun pada 2019.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia tidak mengalami sebarang simptom dan tidak menyangka terdapat masalah kesihatan yang serius.
“Saya tidak tahu ada sesuatu yang tidak kena. Saya tidak benar-benar merasakan sebarang simptom.
“Ia satu kejutan besar dan saya sangat kecewa,” katanya.
Bagaimanapun, selepas mengambil masa untuk menerima diagnosis berkenaan, Dunderdale mula melihat kehidupannya dari sudut berbeza.
Katanya, penyakit itu bukan bermakna kehidupannya sudah berakhir, sebaliknya dia perlu menyesuaikan diri dengan masa depan yang berbeza.
Pada 2023, pemeriksaan lanjut menunjukkan fungsi buah pinggangnya semakin merosot sebelum Hensby menawarkan diri untuk menjadi penderma.
Lebih menggembirakan apabila Hensby didapati sepadan sebagai penderma.
Buah pinggang sahabat mula berfungsi serta-merta
Pembedahan yang dijalankan pada Ogos 2024 berjalan lancar dan buah pinggang baharu Dunderdale mula berfungsi sejurus pemindahan dilakukan.
“Pembedahan berjalan selancar yang diharapkan. Buah pinggang saya, atau patut saya katakan buah pinggang Rewy, mula berfungsi serta-merta.
“Isteri saya juga meminta pakar bedah mengambil gambar buah pinggang itu sebelum ia dimasukkan. Dia melakukannya dan gambar itu kini menjadi sebahagian daripada album keluarga,” ujarnya.
Dunderdale kembali bekerja pada November tahun sama sebelum menyertai UK Transplant Games 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos.
Tidak sekadar kembali aktif, dia turut mencipta kejayaan apabila memenangi pingat emas acara lompat tinggi selain gangsa dalam acara snuker.
“Saya memang sentiasa bermain snuker dan pool, tetapi saya tidak tahu kenapa saya memilih lompat tinggi.
“Saya tidak pernah melakukannya sejak zaman sekolah dan malah tidak mempunyai tempat untuk berlatih. Tetapi akhirnya saya memenangi pingat emas,” katanya.
Kini bakal wakili Great Britain
Kejayaan itu turut membolehkan Dunderdale melayakkan diri mewakili Great Britain pada World Transplant Games di Belgium tahun depan.
Menurutnya, pengalaman menyertai kejohanan berkenaan cukup bermakna, terutama apabila berpeluang bertemu penerima organ lain dan mendengar kisah perjuangan mereka.
“Bertemu penerima pemindahan organ lain adalah antara perkara paling bermakna dalam kejohanan itu.
“Mendengar kisah mereka dan melihat pencapaian yang diraih sangat memberi inspirasi dan merendahkan hati,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Hensby juga bakal menyertai UK Transplant Games di Birmingham tahun depan.
Dunderdale berkata, dia tidak sabar untuk hadir memberikan sokongan kepada sahabatnya sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan yang telah mengubah kehidupannya.
“Selepas segala yang Rewy lakukan untuk saya, ia akan menjadi detik yang membanggakan untuk berada di sana, memberikan sokongan kepadanya dan meraikan pemberian yang telah mengubah hidup saya,” katanya.

