Umat Islam perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu, namun pada masa sama tidak mengorbankan nilai iman, akhlak serta sahsiah dalam mendepani perkembangan teknologi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, penguasaan AI tidak seharusnya hanya mengambil pendekatan daripada negara asing, khususnya Barat, sebaliknya perlu disesuaikan dengan nilai serta prinsip yang menjadi pegangan umat Islam.
Katanya, perkara itu turut merangkumi penguasaan bidang baharu seperti pengkomputeran kuantum dan pendigitalan.
“Apakah perlu kita kuasai (AI)? Jawab saya, satu kemestian. Umat yang meninggalkan AI sebagai ilmu dan pengetahuan baharu akan tercorot.
“Tetapi kefahaman AI kita itu tidak semestinya menciplak, dicedok sepenuhnya dari negara asing, apalagi negara Barat.
“Cabarannya ialah bagaimana kita gunakan ilmu dan teknologi baharu ini, quantum computing, Artificial Intelligence (AI), digitalization, tetapi berakar kepada iman, akhlak dan sahsiah kita. Nilai kita mesti kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQA) Antarabangsa Ke-66 Tahun 1448H/2026, malam ini.
Anwar berkata, prinsip akidah, akhlak dan sahsiah tidak seharusnya ditinggalkan semata-mata kerana mengejar perubahan serta menguasai ilmu baharu sehingga menyebabkan seseorang tersisih daripada menjadi Muslim yang baik.
“Sebab itu dalam mengejar perubahan ini, kita tidak boleh lari daripada semangat membawa kebaikan dan rahmat,” katanya.
Umat Islam perlu tonjol sikap toleransi
Dalam pada itu, Anwar menyeru umat Islam supaya memperlihatkan lebih banyak sikap toleransi dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau berkata, pendekatan itu tidak bermaksud umat Islam perlu mengorbankan prinsip atau pegangan, sebaliknya terus menjadi contoh dengan menjauhi sikap melampau, rasuah dan penipuan.
“Bagi umat Islam, saya katakan, tunjukkan lebih banyak sikap toleransi dan kasih sayang. Ia tidak bermaksud kita mengorbankan prinsip dan pegangan kita.
“Kita tetap menunaikan solat, melakukan kebaikan, menjauhi sikap melampau, rasuah dan sakau serta menjadi contoh yang baik kepada semua,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara tanpa berbekalkan ilmu dan kefahaman yang mendalam.
Menurutnya, kefahaman terhadap Islam perlu terus diperkukuh menerusi pengajian yang lebih mendalam selain tidak mengetepikan khazanah serta tradisi keilmuan Islam yang terbina sejak sekian lama.
“Tanam kefahaman yang lebih mendalam dan jangan izinkan tersebarnya pandangan yang mendorong kepada pantas menghukum tanpa berbekal kepada ilmu yang mendalam,” ujarnya.
Anwar berkata, umat Islam juga tidak seharusnya mengetepikan khazanah keilmuan Islam hanya kerana mahu mengikuti pandangan atau pemikiran baharu.

