Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dari Gelanggang Taman Ke Pentas Asia, Kisah Aizzat "The Wall" Pernah Mewarnai Sukan Bola Tampar
Di sebalik sorakan gemuruh di stadium dan kilauan pingat yang menghiasi dada, tersimpan satu perjalanan sunyi yang penuh dengan pengorbanan, rasa sakit, dan air mata.
Bagi Mohd Aizzat bin Mohd Zokri, atau lebih dikenali sebagai Coach Aizzat, bola tampar bukan sekadar sukan, ia adalah nafas, cinta, dan medan mendewasakan diri buatnya.
Hari ini, di bawah segmen Ini Kisah Aku, kami mengajak anda menyelami sisi emosi seorang pejuang yang tidak pernah tahu erti menyerah kalah, demi melihat bendera Jalur Gemilang berkibar megah di pentas antarabangsa.

Setiap kisah hebat bermula daripada detik yang paling sederhana. Bagi Aizzat, segalanya bermula di sebuah gelanggang kecil di taman perumahan di Negeri Sembilan.
Arwah ayahnya, insan yang paling dicintai ketika itu menganjurkan sebuah kejohanan kecil yang turut dihadiri beberapa pemain kebangsaan. Tanpa sedar, ia telah menyalakan api perjuangan dalam jiwa kecil Aizzat.
"Ketika itu, saya cakap dalam hati, satu hari nanti aku pun nak dikenali sebagai pemain negara," kenangnya.
Namun, jalan ke puncak itu penuh duri. Aizzat mengenang kembali zaman kanak-kanaknya yang penuh kekurangan.
Di saat anak-anak lain pulang ke rumah untuk berehat, Aizzat dan rakan-rakan seusianya terpaksa berhempas pulas mencari ruang untuk berlatih.

"Kami tak ada gelanggang yang cukup. Bila senior datang, kami kena mengalah. Jadi, kami jadikan tiang buaian sebagai net.
Di situlah, di bawah rintik hujan dan debu tanah, kami bermain dengan jiwa yang membara walaupun keadaan tidak menyebelahi kami," luahnya dengan nada sebak.

Kehidupan di sekolah sukan tidak seindah yang disangka. Selain penat fizikal, Aizzat terpaksa berdepan dengan ujian mental yang mengguris hati. Beliau belajar tentang erti dikhianati pada usia yang sangat muda.
"Zaman belajar dulu mendewasakan saya. Saya kenal kawan yang disangka sahabat, tapi rupanya lawan. Bila kita susah, kita sebenarnya sendiri. Hanya bila kita senang, ramai yang mencari," kongsi Aizzat.

Namun, luka di hati itu tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia membentuk Aizzat menjadi seorang yang lebih berdikari dan kuat.
Beliau sedar, dalam setiap jatuh bangunnya, hanya doa ibu bapa dan sokongan keluarga yang menjadi tiang kekuatannya.
"Mak dan ayah pernah sampai ke Sarawak semata-mata nak tengok saya main masa tingkatan satu. Itulah pembakar semangat saya." kongsinya.


Kemuncak ujian seorang atlet adalah kecederaan. Aizzat tidak akan lupa detik hitam di gimnasium apabila tulang belakangnya mengeluarkan bunyi 'pop' yang ngeri ketika dirinya cuba melakukan angkatan berat.
"Saya menjerit minta kawan angkat bar besi tu. Saya dah tak boleh berdiri tegak, jalan pun dah macam nenek kebayan," katanya.
Dalam kesakitan yang amat sangat, Aizzat tetap hadir ke gelanggang keesokan harinya. Walaupun hanya mampu duduk di tepi sambil mengutip bola, beliau tidak mahu membiarkan api semangatnya lumpuh.

Baginya, berhenti bermaksud gagal. Beliau mengibaratkan perjuangan itu umpama mengayuh basikal untuk terus stabil, kaki mesti terus mengayuh walaupun otot sudah tidak bermaya.
"Kami 'bayar' kejayaan hari ini dengan kesakitan di masa depan. Usia lutut kami tak selari dengan umur. Kami korbankan kesihatan demi maruah negara."

Tahun 2017, Aizzat berdiri di tengah gelanggang, melihat ribuan rakyat Malaysia bersatu hati menyokong pasukan bola tampar negara.
Itulah momen yang paling menyentuh tangkai hatinya ketika berpijak di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
"Saya ingat tak ada orang nak tengok kami. Sekali dewan penuh, aura dia buat saya menggigil. Bila nampak mak dan ayah ada dalam kalangan penonton, saya rasa segala sakit, segala latihan malam-malam masa orang lain tidur, semuanya berbaloi."

Kini, Aizzat memilih untuk menjadi lilin yang membakar diri demi menerangi jalan pemain muda. Beliau bukan lagi sekadar pemain, tetapi seorang guru yang mahu membaiki asas kepada pemain-pemain yang ingin menceburi sukan bola tampar di Malaysia.
Melalui TikToknya, @coachaizzat, beliau mencurahkan segala keringat pengalamannya agar tiada lagi pemain muda yang berasa 'stuck' atau buntu seperti yang pernah dirasainya dulu.
Impiannya ringkas, "Saya mahu bawa Malaysia ke final Sukan SEA semula dalam tempoh 10 tahun ini."

"Jangan gopoh mahu melihat hasil. Ibarat memandu dalam kabus yang tebal, teruskan memandu.
"Jangan berhenti kerana mungkin destinasi anda hanya tinggal beberapa meter sahaja di hadapan.
"Kalau anda berhenti sekarang, anda rugi perjalanan jauh yang telah anda tempuhi." titip seorang yang pernah menyarung jersi kebangsaan suatu ketika dahulu.
Kisah Coach Aizzat adalah kisah tentang seorang anak yang tidak pernah berhenti berlari di sebalik luka.
Ia adalah bukti bahawa impian yang mustahil sekalipun boleh menjadi nyata, asalkan kita berani 'membayar' harganya dengan kesabaran dan pengorbanan yang tiada penghujung.
Untuk menyertai kelas mengasah kemahiran bersama bekas pemain bola tampar kebangsaan boleh dapatkan maklumat lanjut di TikTok @aizzatzokri17 dan Facebook Mohd Aizzat Mohd Zokri