Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dari Negara Kepulauan Kecil Ke Pentas Dunia, Ini Fakta Menarik Tentang Cape Verde

Cape Verde
Kredit: Britannica/Visit Caboverde.com

Dari Negara Kepulauan Kecil Ke Pentas Dunia, Ini Fakta Menarik Tentang Cape Verde

Piala Dunia merupakan antara kejohanan sukan yang paling dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dengan penyertaan puluhan negara dari pelbagai benua, kejohanan berprestij ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan buat pasukan-pasukan gergasi seperti Brazil, Argentina, Perancis dan England, malah turut membuka ruang kepada negara-negara lain untuk mencipta sejarah.

Menariknya, setiap edisi Piala Dunia sering menyaksikan kemunculan beberapa negara yang kurang dikenali atau jarang menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak.

Ada antaranya bukan sahaja kurang popular dari segi sukan, malah nama negara tersebut sendiri mungkin tidak begitu diketahui bagi sesetengah orang.

Baru-baru ini, Cape Verde menjadi salah satu tumpuan oleh peminat bola sepak seluruh dunia apabila pasukan tersebut berjaya ke pusingan kalah mati dan bakal bertemu dengan Argentina.

Pada perlawanan pembukaan, mereka juga menunjukkan aksi yang cemerlang apabila berjaya menyekat Sepanyol daripada mencatat kemenangan dengan keputusan seri 0-0.

Ini sekaligus membuatkan ramai peminat bola sepak mula tertanya-tanya mengenai pasukan tersebut.

Pernah menentang Harimau Malaya

Peminat bola sepak di Malaysia mungkin sudah mengenali pasukan negara ini kerana pernah beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya.

Dalam perlawanan pada Jun 2025, Cape Verde berjaya menumpaskan Malaysia 3-0 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sejarah awal

Cape Verde, yang secara rasminya dikenali sebagai "Cabo Verde" merupakan sebuah kepulauan yang terdiri daripada 10 pulau berapi yang terletak kira-kira 600 hingga 850 kilometer dari pantai Senegal di tengah Lautan Atlantik.

Negara itu merupakan sebahagian daripada rantau ekologi Macaronesia bersama Kepulauan Azores, Kepulauan Canary dan Madeira.

Dengan populasi sekitar 530,000 orang, ia merupakan salah satu negara paling kurang penduduk di Afrika, namun diaspora (komuniti perantauan) mereka di Amerika Syarikat, Portugal dan Eropah Barat jauh lebih ramai berbanding penduduk yang tinggal di kepulauan itu sendiri.

Kredit: BBC

Cape Verde turut mencatat pencapaian penting apabila keluar daripada kategori Negara Kurang Maju Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2007.

Malah, sejarah awal kemakmuran pulau ini juga dikatakan amat kejam pabila ia pernah menjadi salah satu pusat penting dalam perdagangan hamba trans-Atlantik, dengan Ribeira Grande berkembang menjadi antara bandar terkaya dalam Empayar Portugis pada abad ke-16.

Apabila perdagangan hamba berakhir pada abad ke-19, ekonominya merosot dengan teruk dan kemarau yang berulang mencetuskan kebuluran serta penghijrahan besar-besaran, menyebabkan rakyat Cape Verde tersebar ke seluruh dunia Atlantik.

Cape Verde akhirnya mencapai kemerdekaan pada 5 Julai 1975, menjadi salah satu daripada sedikit jajahan Afrika Portugis yang berjaya merdeka tanpa konflik bersenjata di tanah air sendiri.

Muzik, Budaya & Bahasa

Bahasa Portugis ialah bahasa rasmi Cape Verde, namun kehidupan harian masyarakatnya lebih banyak menggunakan Kriolu, iaitu bahasa kreol berasaskan Portugis yang berbeza mengikut setiap pulau.

Muzik ikonik negara itu, morna, membawa nada yang sayu dan penuh emosi, hampir seperti fado Portugis, dengan tema utama seperti kerinduan dan perpisahan yang lahir daripada sejarah panjang perhambaan dan penghijrahan.

Kredit: Visit Caboverde.com

Tokoh paling terkenal genre ini ialah Cesária Évora, yang telah membawa muzik Cape Verde ke pentas dunia sebelum kematiannya pada tahun 2011.

Pada tahun 2019, morna telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage).

Pulau tarikan pelancong

Bukan itu sahaja, negara kepulauan ini juga mempunyai beberapa pulau yang menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadi dan kisah sejarahnya yang tersendiri.

Kredit: Visit Caboverde.com

Antaranya ialah Pulau Sal, Pulau Boa Vista, Pulau Santiago, Pulau São Vicente, Pulau Santo Antão, Pulau Fogo, Pulau Maio dan Pulau Brava.

Malah, setiap pulau ini memiliki tarikan tersendiri, daripada pantai yang indah, landskap gunung berapi, budaya tempatan sehinggalah bangunan bersejarah yang masih boleh dilihat hingga hari ini.

Kredit: Visit Caboverde.com

Dari negara koloni ke negara demokrasi stabil

Sejak beralih kepada demokrasi berbilang parti pada tahun 1991, Cape Verde telah membina reputasi sebagai salah satu kisah kejayaan demokrasi yang paling konsisten di Afrika, dengan peralihan kuasa yang aman antara parti-parti saingan sejak itu.

Tanpa sumber semula jadi yang besar, ekonominya banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan, dengan peningkatan kebergantungan kepada pelancongan dan pelaburan asing.

Namun, keadaan ini juga menyaksikan ekonominya agak rapuh, menjadikan kejayaan mereka dalam bola sepak terasa lebih luar biasa dan pertemuan mereka dengan Argentina pada 3 Julai ini menjadi lebih penting dan mendebarkan.

Kemaraan pasukan negara ini di Piala Dunia menggambarkan usaha berterusan untuk mencapai impian yang lebih besar.

Walaupun negara kecil, tidak mustahil akan menggapai pencapaian yang besar.