Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif, berkuat kuasa hari ini.
Inisiatif itu menyaksikan norma kerja tradisional lima hari seminggu di pejabat kini beralih kepada gabungan kehadiran fizikal dan tugasan di lokasi alternatif, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan pelaksanaan HBH sebagai langkah kalis masa hadapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal utuh dalam mendepani perubahan global dan evolusi cara kerja moden tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Mengikut Garis Panduan Pelaksanaan HBH, bagi negeri yang mempunyai hari kelepasan mingguan pada Ahad, hari Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai kehadiran wajib ke pejabat.
Bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu pula, hari wajib bertugas di pejabat adalah pada Ahad dan Khamis.
Satu lagi hari kehadiran fizikal akan ditentukan oleh Ketua Jabatan masing-masing, manakala baki dua hari lagi diperuntukkan untuk BDR mengikut kesesuaian fungsi dan syarat yang ditetapkan.
Kaedah bekerja secara hibrid itu turut diamalkan di beberapa negara maju termasuk Singapura, Australia, Finland dan Sweden.
Melalui HBH, pegawai yang layak tidak perlu lagi mengemukakan permohonan atau menunggu arahan khas kerana aturan itu kini menjadi sebahagian daripada skim kerja tetap, tertakluk pada kelayakan yang ditentukan oleh Ketua Jabatan.
Ketua Jabatan diberi kuasa mutlak untuk menentukan kelayakan pegawai, termasuk mengarahkan mereka hadir ke pejabat pada hari BDR jika diperlukan atas kepentingan perkhidmatan atau menarik balik kelayakan sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi.
Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini tidak melibatkan sektor perkhidmatan penting yang memerlukan kehadiran fizikal sepenuhnya seperti petugas kaunter, pasukan keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.
Bagi menjamin produktiviti, pencapaian output kerja dan kehadiran pegawai akan dipantau melalui sistem SPOT-Me selain pegawai diwajibkan mematuhi peraturan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan sentiasa boleh dihubungi pada bila-bila masa serta bersedia hadir ke pejabat apabila diarahkan.
JPA sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan HBH berteraskan kepercayaan, integriti dan kebertanggungjawaban pegawai dengan sokongan teknologi digital bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal pada tahap terbaik.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan