Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hari Bekerja Hibrid Berkuat Kuasa Mulai 1 Ogos 2026 - JPA

Hari Bekerja Hibrid
Gambar: JPA

Hari Bekerja Hibrid Berkuat Kuasa Mulai 1 Ogos 2026 - JPA

Jemaah Menteri hari ini bersetuju melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026.

Pelaksanaan HBH merupakan inisiatif baharu kerajaan yang memperkenalkan pengaturan kerja lebih fleksibel kepada penjawat awam tanpa mengurangkan jumlah waktu bekerja.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), melalui pelaksanaan itu, penjawat awam dibenarkan bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan. Manakala, tiga hari lagi perlu hadir ke pejabat.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi tugas serta syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Penetapan HBH mengikut negeri

Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai Hari Kelepasan Mingguan (HKM), Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib di pejabat.

Sementara itu, bagi negeri yang menjadikan Jumaat sebagai Hari Kelepasan Mingguan, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari kehadiran wajib di pejabat ialah Ahad dan Khamis.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kepada rakyat.

Perkhidmatan kaunter serta tugas yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa. Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.

"Inisiatif HBH ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan Kerajaan dalam memodenkan Perkhidmatan Awam melalui amalan kerja yang berorientasikan hasil dan memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan yang akan memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik," jelas JPA.

JPA turut memaklumkan bahawa pendekatan bekerja secara hibrid telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

"Pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.

"Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat," tambah JPA.