CYBERJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Data pergerakan dan lokasi pengguna aplikasi navigasi Waze yang terikat di bawah bidang kuasa serta undang-undang Israel dikhuatiri boleh dianalisis dan dieksploitasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak berniat jahat.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi itu untuk penjawat awam bagi tugas rasmi dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama berhubung keselamatan data dan kedaulatan maklumat negara.
“Pertama, Waze mengumpul pelbagai maklumat pengguna secara terperinci termasuklah data lokasi, pergerakan perjalanan dan maklumat peranti. Bergantung kepada tetapan peranti, maklumat ini boleh dikumpul walaupun aplikasi itu tidak digunakan secara aktif.
“Apabila dianalisis secara agregat, data sedemikian boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna. Jadi, bagi penjawat awam ini mungkin menjadi isu yang amat sensitif,” katanya dalam taklimat mengenai isu semasa keselamatan negara di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) MKN Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Raja Nushirwan berkata faktor kedua melibatkan undang-undang yang mentadbir data berkenaan susulan terma penggunaan baharu yang dikeluarkan oleh syarikat pemiliknya, Waze Mobile Limited, yang diperbadankan di Israel.
“Terma penggunaan baharu menyatakan bahawa penggunaan Waze ini adalah tertakluk kepada undang-undang Israel, dan perkara ini tidak berlaku sebelum ini. Oleh itu, sebarang pertikaian perundangan akan tertakluk kepada undang-undang Israel, satu negara yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.
“Saya nak tegaskan bahawa keputusan ini bukan disebabkan isu teknologi semata-mata tetapi terkait dengan isu undang-undang yang mentadbir data pengguna,” katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara, sambil menegaskan pendirian kerajaan bahawa data rakyat Malaysia tidak boleh tertakluk kepada bidang kuasa Israel.
Semua pihak juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan data pada mana-mana aplikasi bagi mengelak ia dieksploitasi.
“Data sebenarnya merupakan minyak kepada apa-apa aplikasi atau platform AI termasuklah Waze.
“Jadi, kalau kita sewenang-wenangnya membekalkan data, seolah-olah kita bergantung untuk minyak kereta daripada sumber yang kita tak boleh percaya. Itulah gambaran paling senang untuk menunjukkan pentingnya kita sendiri memiliki dan menguasai data rakyat kita ini,” katanya.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilapor berkata larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi anggota perkhidmatan awam hanya terpakai ketika menjalankan tugas rasmi.

