Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Deep Purple Umum Konsert Tunggal Asia Tenggara Di Malaysia
Selepas 15 tahun, kumpulan rock legenda dunia, Deep Purple bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert Deep Purple Live in Malaysia.
Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 23 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menariknya, Kuala Lumpur merupakan satu-satunya lokasi persembahan Deep Purple di seluruh Asia Tenggara.
Ini sekali gus menjadikan konsert tersebut sebuah detik istimewa yang dinanti-nantikan oleh peminat tegar mereka di rantau ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, pemilihan Deep Purple sebagai artis jemputan adalah bertepatan dengan kebangkitan semula konsert rock di Malaysia ketika ini.
“Jelas sekali terdapat kebangkitan minat terhadap konsert rock dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami komited untuk terus menyemarakkan momentum itu dengan membawa masuk pelopor sebenar genre ini.
“Kali terakhir mereka membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah pada tahun 2010. Penantian kali ini sangat berbaloi. Dengan hanya satu persembahan di Asia Tenggara, kami yakin ia bakal menjadi konsert yang luar biasa,” katanya.
Tambah Rohit, konsert ini bukan sekadar mengubat rindu peminat lama, tetapi juga menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan karisma pentas Deep Purple kepada generasi muda.
“Daripada Smoke on the Water hingga Highway Star, konsert ini bakal menjadi kelas pengajian rock sebenar yang tidak boleh dilepaskan,” ujarnya.
Dengan 23 album studio dan lebih 100 juta rekod terjual di seluruh dunia, Deep Purple diiktiraf sebagai antara perintis utama genre rock dan heavy metal.
Antara penghargaan yang pernah diterima kumpulan ini termasuk kemasukan ke Rock and Roll Hall of Fame dan Anugerah Legenda di World Music Awards. Selain itu, penyenaraian dalam Best Live Albums of All Time oleh Rolling Stone menerusi album Made in Japan.
Deep Purple juga menjadi sumber inspirasi kepada banyak kumpulan besar seperti Metallica, Aerosmith dan Van Halen, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai ikon muzik rock global.
Konsert ini turut mendapat sokongan Mix FM, Lite FM dan Sinar FM sebagai rakan radio, Gempak sebagai rakan media digital, serta Malay Mail sebagai rakan media utama. Ia turut dianjurkan bersama Rockstar Touring dan LAMC Productions.
Jualan tiket untuk konsert Deep Purple Live in Malaysia akan bermula pada 30 Julai 2025, jam 12 tengah hari, menerusi laman rasmi www.hitmanlive.com.
Berikut ialah kategori dan harga tiket yang ditawarkan:
Royal Twin Seat – RM2,099 (termasuk lanyard dan poster rasmi)
Gold – RM599
Silver – RM499
Rockzone – RM399
General Admission – RM359
Bronze – RM299
Sebarang pertanyaan berkaitan konsert boleh diajukan melalui WhatsApp di talian +6012-265 5783 atau e-mel ke [email protected].
BACA: Siri TV Harry Potter Bakal Tayang 2027
BACA: Konsert My Chemical Romance Di Kuala Lumpur Tahun Depan
BACA: 60,000 Tiket Konsert My Chemical Romance ‘Licin’
Sumber: Astro Gempak