Detik Cemas Gempa Bumi ‘Gegar’ Indonesia Hari Ini
Satu gempa bumi sederhana telah dilaporkan berlaku di Sulawesi, Indonesia pada jam 6:38 pagi tadi.
Gempa tersebut direkodkan pada koordinat 1.3° Selatan dan 120.8° Timur, dengan magnitud 5.9 pada skala Richter.
Menurut maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), pusat gempa bumi ini terletak 107 kilometer Tenggara dari Palu, Indonesia, dengan kedalaman 41 kilometer.
Bagaimanapun, METMalaysia menegaskan tiada ancaman tsunami yang dilaporkan kepada Malaysia setakat ini.
Video tular papar detik cemas warga selamatkan diri dari bangunan runtuh
Dalam satu video tular di media sosial, kelihatan warga berdepan detik cemas apabila kejadian berlaku.
Ramai yang dilihat berlari keluar dari sebuah bangunan yang rosak teruk, dipercayai runtuh akibat gegaran itu.
Kedengaran bunyi tangisan, kelihatan juga beberapa orang cedera yang dibawa keluar dan cuba diselamatkan dari bangunan.
Puluhan dilaporkan cedera
Menurut Astro Awani, Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Indonesia memaklumkan bahawa sekitar 29 orang cedera, termasuk dua mangsa kritikal, selepas gempa bumi itu gegar Daerah Poso, Sulawesi Tengah, Indonesia.
Gegaran yang berlangsung selama kira-kira 15 saat itu dirasai di beberapa kampung seperti Masani, Tokorondo, Towu, Pinedapa, Tangkura dan Lape. Ini menyebabkan penduduk panik lalu bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Ketua BNPB, Suharyanto, menjelaskan bahawa 13 mangsa telah dirujuk ke Hospital Daerah Poso, termasuk dua dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, enam lagi menerima rawatan di Pusat Kesihatan Komuniti Tokorondo, manakala selebihnya mendapat rawatan segera di lokasi kejadian.
Sebuah rumah ibadat, iaitu Gereja Elim di Kampung Masani, turut dilaporkan rosak.
Rakaman video menunjukkan jemaah yang sedang menyanyikan lagu pujian bertempiaran lari apabila gegaran berlaku secara tiba-tiba.
Sehingga jam 7.10 pagi, pihak berkuasa merekodkan 10 gegaran susulan, dengan yang paling kuat berukuran 3.2 magnitud.
Namun, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengesahkan bahawa gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
BNPB kini sedang meningkatkan koordinasi bersama agensi tempatan serta menyalurkan bantuan kecemasan, termasuk khemah dan bekalan perubatan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya kekal tenang, berwaspada terhadap gegaran susulan serta menjauhi bangunan yang mengalami keretakan.
Sebagai makluman, Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan yang sangat aktif dengan aktiviti seismik dan kerap berdepan gempa bumi serta letusan gunung berapi.
BACA: Seram, Anggota NOAA Kongsi Rakaman Mata Puting Beliung Dalam Taufan Erin
BACA: Dibayar Berlari Untuk Orang Lain, Khidmat ‘Joki Strava’ Makin Popular Di Indonesia
BACA: 5 Produk Indonesia Yang ‘Digilai’ Di Malaysia
Sumber: Jalur Makassar Gowa/TikTok, METMalaysia, Astro Awani