Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Detik Cemas Gempa Bumi Kuat 'Gegar' Sulawesi
Kata "gempa bumi" sahaja sudah cukup membuatkan ramai berasa cemas dan takut, walaupun bencana itu berlaku jauh dari tempat kita berada.
Bukan apa, gempa bumi merupakan antara bencana alam yang sukar dijangka.
Dalam sekelip mata, keadaan yang tenang boleh bertukar menjadi situasi huru-hara apabila gegaran kuat mula dirasai.
Itulah yang berlaku di Sulawesi, Indonesia apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan wilayah tersebut pada Selasa, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat.
Sejurus selepas kejadian, pelbagai video mula tular di media sosial yang memaparkan suasana cemas ketika gempa melanda.
Dalam salah satu rakaman, kelihatan bahagian siling dan struktur dalaman sebuah bangunan yang dipercayai berada di sebuah institusi pengajian mengalami keretakan. Sebahagiannya juga terlihat runtuh dan jatuh ke lantai.
Lebih mencemaskan, satu lagi video menunjukkan orang awam yang berkumpul bertempiaran lari keluar dari kawasan bangunan sebaik sahaja gegaran kuat dirasai.
Masing-masing dilihat cuba mencari kawasan lebih selamat sambil suasana panik jelas kelihatan di sekeliling mereka.
Selain bangunan, beberapa rakaman dan gambar yang dikongsikan turut menunjukkan kerosakan pada infrastruktur awam.
Antara yang mencuri perhatian ialah keadaan jalan raya yang dilaporkan mengalami rekahan akibat gegaran kuat tersebut.
Malah, beberapa rumah penduduk dan premis perniagaan turut dilihat mengalami kerosakan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa gempa bumi kuat telah berlaku di Sulawesi, Indonesia pada jam 11.27 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan:
Magnitud: 6.9
Lokasi: 1.1° Selatan, 120.2° Timur
Jarak: 41 kilometer tenggara dari Palu, Indonesia
Kedalaman: 10 kilometer
Bagaimanapun, METMalaysia mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut.