Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Detik Cemas Penerbangan, Penumpang Didakwa Cuba Buka Pintu Kecemasan
Tular di media sosial satu video memaparkan detik mencemaskan dalam penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur ke Kochi, India pada Rabu.
Menerusi perkongsian di Instagram, @ourwanderinglives mendakwa insiden cemas itu berlaku apabila salah seorang daripada penumpang penerbangan Batik Air OD231 cuba membuka pintu kecemasan ketika berada di udara.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika kebanyakan penumpang lain sedang tidur dalam penerbangan tengah malam sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi seolah-olah angin menderu masuk ke dalam pesawat.
"Ia merupakan penerbangan tengah malam, dan kebanyakan penumpang sedang tidur ketika kami dikejutkan dengan bunyi angin menderu masuk yang kuat dan menakutkan," katanya menerusi ruangan kapsyen.
Ujarnya, penumpang yang duduk di bahagian pintu kecemasan cuba untuk memecahkan tingkap dan berjaya menganggu pintu keluar kecemasan.
"Seorang penumpang yang duduk di barisan berhampiran pintu keluar kecemasan cuba memecahkan tingkap dan menganggu pintu keluar kecemasan.
"Kami dapat dengar bunyi angin menderu yang menakutkan melalui pesawat. Mujurlah, disebabkan reka bentuk pesawat dan tekanan kabin, pintu keluar kecemasan kekal tertutup," jelasnya.
Menurutnya, penumpang lain bersama kru Batik Air bertindak pantas menahan individu berkenaan dan berjaya menghalang situasi menjadi semakin buruk.
"Kejadian ini sangat menakutkan, tapi syukur, kami semua selamat. Terima kasih kepada semua yang tampil membantu ketika kejadian berlaku," katanya.
Sementara itu, memetik laporan Indian Express, individu berkenaan berusia 36 tahun itu telah ditahan susulan laporan dari pegawai yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Batik Air di Lapangan Terbang Kochi.
Menurut polis di lapangan terbang berkenaan, Jamsheer, yang bekerja di bahagian hospitaliti di Malaysia dalam perjalanan balik ke kampung halaman.
"Kejadian berlaku di udara di antara 9:30 malam dan 11 malam. Lelaki itu merupakan penumpang di tempat duduk 12A.
"Tanpa sebarang provokasi, dia cuba untuk membuka pintu keluar kecemasan dan merosakkan tingkap di pintu tersebut.
"Dia juga mengancam penumpang lain serta kru kapal terbang yang cuba untuk menghalang dia. Bagaimanapun, dia kemudian berjaya ditahan oleh penumpang lain dan kru kapal terbang," kata pegawai polis di lapangan terbang.
Lelaki itu ditahan atas tuduhan melakukan ugutan jenayah [Seksyen 351(3) BNS], ingkar arahan keselamatan rasmi [Seksyen 11-A Akta Pesawat], dan membahayakan keselamatan awam [Seksyen 118(e) Akta Polis Kerala].
Sementara itu, pegawai itu juga memaklumkan bahawa kru kabin Batik Air telah kembali ke Malaysia dan kenyataan mereka akan direkodkan kemudian.
"Kamo juga sedang meneliti sama ada Akta Pencegahan Perbuatan Menyalahi Undang-Undang Terhadap Keselamatan Penerbangan Awam boleh dikenakan terhadap suspek yang ditahan.
"Akta itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di dalam pesawat," jelas pegawai polis.
Tambahnya, suspek yang ditahan juga tidak memberikan sebarang alasan atau provokasi yang mendorong tindakannya itu.
"Menurut suspek, dia berasa dia ingin melakukannya pada ketika itu. Ia bukan kerana dia kehilangan pekerjaan atau kecewa. Dia juga memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan pulang untuk bertemu anaknya yang baru lahir.
"Polis akan memohon perintah tahanan reman daripada mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," kata pegawai polis.